Berita Utama

Pengkritik festival Melayu tiada ‘kepelbagaian’ budaya lemah jati diri

Berhenti bersikap apologetik, kembalikan keyakinan bangsa Melayu

BANGI, 29 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Tidak cukup melibatkan Tan Sri Mohamed Apandi Ali dengan Festival Hari Peradaban Bangsa Melayu, masih ada lagi pihak yang meroyan mengenai program anjuran Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) itu.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, kali ini pihaknya dikritik mengapa hanya diadakan untuk ‘Melayu’ dan sepatutnya ada ‘kepelbagaian’ budaya lain.

Walhal katanya, tidak pernah lagi dengar mana-mana festival kebudayaan bangsa mesti menyelitkan kebudayaan bangsa lain.

“Bila orang Melayu nak buat, terus nak kena kepelbagaian. Apa punya apologetik dan lemahnya jati diri.

“Lagi pun, entah sejak bila Festival Hari Peradaban Bangsa Melayu ini hanya untuk orang Melayu sahaja, sejak awal lagi saya sebut agar seluruh rakyat Malaysia dijemput hadir kerana kita menyambut peradaban nasional.

“Yang menyedihkan di sini ialah, yang mahu kita cairkan identiti kononnya demi memberi ruang kepada orang lain ini adalah orang Melayu sendiri. Padahal ruang sudah ada di kesempatan-kesempatan lain pun. Bukannya kita halang bangsa lain sambut kebudayaan mereka sendiri pun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati pihak berkenaan untuk berhenti bersikap apologetik seperti itu.

“Geli pula saya tengok apatah lagi meroyan tak tentu pasal.

“Orang Melayu dahlah tak ada sambutan khas apa-apa hari untuk kebudayaan atau peradabannya sendiri. Bila kita nak buat, padahal di peringkat NGO sahaja pun. Banyak pula bunyinya.

“Itu belum lagi cerita bab ada yang cuba halang dan gagalkan festival ini melalui ‘kabel’ tertentu,” katanya.

Perkara tersebut bagaimanapun tidak mematah semangat PEMBELA sebaliknya badan bukan kerajaan (NGO) itu akan terus membawa perjuangan mengangkat keyakinan di kalangan bangsa Melayu.

“Bukan untuk apa, tapi hanyalah untuk mengangkat jati diri dan mengembalikan keyakinan sebagai bangsa Islam yang megah di persada dunia.

“Sebagaimana bangsa Turki bangga dengan bangsa dan justeru, agamanya. Kita mahu Melayu jadi ‘izzah dan yakin sedemikian rupa!” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button