ROS lulus pindaan Perlembagaan UMNO
Pemilihan penggal ini dibuat tak lewat 6 bulan selepas PRU15

BANGI, 29 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan dengan sedikit pindaan kepada permohonan berkaitan perlembagaan UMNO.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi sepucuk surat yang diterima beliau pada petang ini.
Beliau berkata, kelulusan ROS itu berkuat kuasa hari ini.
“ROS bersetuju kepada pindaan Perlembagaan UMNO agar pemilihan UMNO di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat).
“ROS juga meminta agar satu pemilihan perlu diadakan dalam satu penggal Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Maslan berkata, ini bermakna pemilihan UMNO untuk penggal ini hanya akan dibuat tidak lewat daripada enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.
“Bagi pihak UMNO, saya ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada ROS dan semua pihak yang terlibat dalam meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO,” katanya.