Berita Utama

Tak bercanggah syariat Islam sebab PAS sokong SOSMA

Keputusan dibuat selepas MP PAS capai kata sepakat berhubung pendirian parti

BANGI, 29 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Keputusan PAS menyokong lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA selama lima tahun lagi kerana tidak bercanggah syariat Islam.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, parti itu hanya akan menyokong sesuatu yang tidak membawa kemudaratan kepada negara berdasarkan dasar umum parti.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan PAS yang menyatakan sokongan terhadap SOSMA, sedangkan sebelum ini parti itu dengan tegas menolak akta tersebut.

“Mungkin (ketika itu) ada sesuatu dilihat bercanggah dengan syariat dan perkara yang berbangkit,” katanya .

Bagaimanapun jelas Hashim, PAS tidak mempunyai kepentingan peribadi dan politik berhubung sokongan parti tersebut di Dewan Rakyat.

“Keputusan berkenaan dibuat setelah Ahli Parlimen PAS mengadakan pertemuan dan mencapai kata sepakat berhubung pendirian parti,” jelas beliau.

Hashim berkata, pelaksanaan SOSMA tidak terkeluar dari landasan Islam, ketika membahaskan usul kerajaan melanjutkan Subseksyen 4(5) akta berkenaan.

Pada sidang Dewan Rakyat 26 Julai lalu, pembangkang gagal dalam usaha menyekat usul berkenaan semasa undi belah bahagi, apabila 111 Ahli Parlimen mengundi menyokong, termasuk undi daripada wakil rakyat PAS.

Sementara itu sebanyak 88 mengundi menentang, manakala 21 lagi tidak hadir.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button