Berita Utama

Lokasi bukan penghalang hadir Hari Peradaban Bangsa Melayu

Pengunjung sambut mesej penganjur kembali kepada jati diri Melayu

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

KUALA LUMPUR, 1 Muharram 1444H, Sabtu – Jarak lokasi tidak menjadi penghalang Ahmad Sahal Sj Mohd Zaki untuk menghadiri Festival Hari Peradaban Bangsa Melayu (HPBM) di Padang Bolesepak KLFA di sini hari ini.

Bertolak dari Terengganu semalam, beliau yang segak mengenakan busana tradisional Melayu dengan lengkap bertanjak berkata, kehadirannya di sini pagi tadi bagi menyahut seruan penganjur selain memberi sokongan penuh terhadap festival yang julung kali diadakan itu.

“Dalam jutaan rakyat Malaysia, kalau kita yang tidak membuat kebersamaan program begini bagaimana masyarakat nak nampak bangsa Melayu ini hebat.

“Saya rasa ini julung kalinya program bangsa Melayu diadakan dan saya teruja untuk bersama.

“Persembahan silat, memanah, permainan tradisi pun ada, itu jati diri bangsa Melayu. Jika kita tidak ke mari, siapa lagi nak ke sini,” katanya kepada Ismaweb.net.

Sementara itu, bagi Suhaida Md Saad, festival ini membuatkan beliau ternanti-nantikan persembahan yang mengaitkan budaya Melayu.

“Apabila datang sini, kita lihat ada persembahan silat, permainan rakyat yang sebelum ini saya tidak pernah tahu contohnya rebut negeri yang seperti tarik tali,” katanya.

Sedia maklum bahawa HPBM diadakan pada 1 Muharram, beliau berharap pada tarikh sama setiap tahun akan dilaksanakan lagi program seperti hari ini.

“Kita yang berbangsa Melayu khususnya digalakkan datang ke sini supaya kita dapat melihat sendiri. Sebenarnya apa yang penganjur ingin sampaikan untuk kembalikan kita kepada jati diri sebagai anak bangsa Melayu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button