Berita Utama

Kerajaan benar guru, petugas Kemas berpolitik: PM

Minta KPM segera keluar pekeliling jika masih belum ada

KOTA BHARU, 19 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Kerajaan hari ini mengumumkan kebenaran kepada kesemua guru sekolah di seluruh negara untuk berpolitik sebagai menghormati prinsip demokrasi iaitu hak seluruh rakyat untuk berpolitik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu turut melibatkan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk berpolitik.

Justeru kata beliau, Kementerian Pendidikan perlu mengeluarkan pekeliling mengenai kebenaran tersebut dengan segera sekiranya masih belum ada.

“Saya telah pun membawa perkara ini ke Kabinet dan memutuskan dalam menghormati prinsip demokrasi iaitu kebenaran rakyat untuk berpolitik maka kami telah membuat keputusan membenarkan guru-guru berpolitik.

“Kakitangan Kemas, dahulu dibenarkan berpolitik seperti rakyat biasa namun ketika era Pakatan Harapan (PH) mereka tidak dibenarkan berbuat demikian justeru saya ingin umumkan bahawa petugas Kemas juga bebas dan dibenarkan berpolitik.

“Jika pekeliling belum dikeluarkan, saya harap Kementerian Pendidikan segera mengeluarkan pekeliling tersebut agar tiada lagi tekanan dilakukan terhadap guru-guru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Perdana Menteri Bersama Ahli Biro Politik UMNO Negeri di Bangunan UMNO Kelantan, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Terdahulu, beliau memaklumkan sebelum ini ada pekeliling menyekat guru-guru daripada berpolitik sehingga ramai dalam kalangan pendidik berkenaan diberi amaran untuk diambil tindakan.

Bagaimanapun jelas Ismail Sabri, guru-guru dan petugas Kemas berkenaan masih tertakluk terhadap peraturan jabatan masing-masing.

“Seperti guru misalnya jika berpolitik hingga meninggalkan tugas mereka boleh diambil tindakan disiplin dan sebagainya, itu terserah pada jabatan (membuat penilaian),” kata beliau.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button