Dunia

Hamas kecam cubaan ‘mengisraelkan’ pendidikan Palestin

Gesa usaha digembleng agar rakyat dapat semula hak pendidikan

GAZA, 1 Muharram 1444H, Sabtu – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengecam cubaan ‘mengisraelkan’ pendidikan Palestin di Baitulmaqdis yang diduduki.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Hamas mendedahkan tindakan Israel untuk menghapuskan sejarah dan memutarbelitkan identiti Palestin, selain menyekat sebarang prospek untuk meningkatkan persekitaran pendidikan di sekolah Palestin.

Kenyataan Hamas itu dibuat susulan keputusan Israel untuk menutup lima sekolah Palestin atas alasan mempunyai unsur hasutan terhadap negara dan tentera Israel dalam kandungan buku teks mereka.

“Kami menegaskan bahawa percubaan untuk ‘mengisraelkan’ kurikulum Palestin dan menyasarkan institusi pendidikan Palestin pasti akan gagal dalam menghadapi daya tahan dan kesedaran Palestin yang semakin meningkat,” kata Hamas.

Justeru, Hamas menggesa supaya usaha dan sumber digembleng untuk memperkukuhkan pendidikan Palestin di Baitulmaqdis, agar rakyat mendapatkan semula hak mereka terutama dalam pendidikan.

Menurut sumber, penutupan lima cawangan Sekolah Al-Eman menyebabkan 1,755 pelajar Palestin hilang hak pendidikan mereka.

Langkah Israel itu bukan hanya membabitkan sekolah, bahkan juga Kolej Al-Ibrahimiyah yang mempunyai 288 pelajar. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button