Berita Utama

Majlis bacaan doa buka tirai tahun baharu Islam

Sebagai tanda menghayati peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW

KUALA LUMPUR, 1 Muharram 1444H, Sabtu – Majlis bacaan doa membuka tirai tahun baharu Islam 1444 Hijrah sebagai tanda kesyukuran serta menghayati peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah yang menjadi titik sejarah penting tamadun Islam.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1444H/2011M dan majlis bacaan Yasin sempena Hari Pahlawan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Majlis itu dimulakan dengan bacaan Yasin dan doa selamat diikuti bacaan doa akhir dan awal tahun dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.

Majlis diteruskan dengan solat fardhu maghrib dan solat hajat.

Di KELANTAN, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan berangkat ke majlis sambutan Hijratul Rasul peringkat negeri Kelantan di Masjid Al-Sultan Ismail Petra dekat Kubang Kerian.

Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan menganugerahkan Tokoh Hijratul Rasul kepada bekas pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Kelantan Dr Mohd Zain Mahmood.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir berkenan merasmikan sambutan Ma’al Hijrah peringkat negeri di Masjid Negeri yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi Facebook rasmi Selangor Royal Office bertitah supaya umat Islam memperbaharui azam untuk menjadi lebih kreatif dan berinovasi dalam menghadapi dunia yang kian mencabar.

“Mengambil semangat dari pertukaran tahun baharu ini merupakan peluang yang terbaik menanamkan semangat untuk berubah serta memperbaiki diri atau keadaan kita kepada yang lebih baik, sama ada sebagai individu, keluarga, jabatan, masyarakat mahupun negara,” titah baginda.

Di JOHOR, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda menyeru umat Islam menyambut tahun baharu Hijrah dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

“Marilah kita menyambut tahun baharu ini dengan penuh keimanan dan ketakwaan agar seluruh masyarakat Islam di negeri Johor ini terus diberkati Allah SWT dan hidup dalam keadaan harmoni dan sihat sejahtera,” titah baginda. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button