Berita UtamaIstimewa

Sistem kesihatan kembali lumpuh jika tak sekat pelancong China

Bukan nak politikkan keadaan tetapi ini isu kesihatan: PERDIM

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 10 Jamadilakhir 1444H, Selasa – Tidak mustahil negara berdepan gelombang lebih teruk yang mana sistem kesihatan negara akan lumpuh sekiranya tiada pencegahan segera menangani varian baharu COVID-19 dari China.

Timbalan Presiden Pertubuhan Doktor -Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Norzaidi Zakaria berkata, kerajaan perlu bertindak pantas dengan menyekat kemasukan pelancong luar khususnya dari China bagi mengelakkan keadaan lebih parah.

“Kita jangan ulang sejarah lama, akibat lambat bertindak kesannya bukan saja kepada rakyat tetapi seluruh negara.

“Gesaan kita bukan nak mempolitikkan isu kehadiran pelancong China tetapi fahamilah, ini isu kesihatan rakyat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah memaklumkan, dua varian Covid-19 utama yang menular di China iaitu varian BA.5.2 dan varian BF.7 dikesan telah berada di Malaysia.

Setakat 31 Disember lalu, terdapat sebanyak 4,148 kes yang dijangkiti dengan BA.5.2 dan tiga kes yang dijangkiti dengan BF.7.

Bimbang situasi itu, Dr Norzaidi menegaskan, kerajaan perlu segera bertindak dan melihat kesan yang bakal diterima sekiranya melengah-lengahkan tindakan.

“Walaupun pada mulanya hanya dua kes yang dikesan namun sekiranya dibiar tanpa pencegahan ia akan mendominasi keadaan,” katanya.

Justeru, beliau mahu kerajaan melaksanakan peraturan ketat terutamanya di pintu-pintu utama negara seperti di lapangan terbang dan pintu sempadan.

Malah, prosedur operasi standard (SOP) dan amalan pencegahan seperti pemakaian pelitup muka serta pelaksanan ujian kendiri juga perlu diperketatkan lagi bagi mengelak virus daripada luar di bawa masuk ke negara.

Beliau juga mengesyorkan pemberian dos penggalak tambahan bagi menguatkan lagi daya tahan badan.

“Pengambilan dos penggalak penting untuk memperkuat imunisasi badan terutama individu berisiko seperti warga emas,” katanya.

Pada masa sama, Dr Norzaidi turut menyarankan supaya ujian RTK COVID-19 atau ujian saringan RT-PCR  dilakukan di premis-premis kesihatan manakala ujian kendiri perlu dihentikan berikutan bacaan tidak tepat dan sukar mendapatkan data yang lengkap.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button