Berita Utama

Pameran artifak tapak arkeologi Sungai Batu jadi tumpuan

Kebanyakan pengunjung teruja kebolehan Melayu 788 sebelum Masihi

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

KUALA LUMPUR, 1 Muharram 1444H, Sabtu – Meskipun dalam keadaan cuaca panas, keterujaan pengunjung yang hadir ke Festival Hari Peradaban Bangsa Melayu (HPBM) di Padang Bolesepak KLFA di sini hari ini berganda dengan pelbagai aktiviti yang disediakan.

Ini kerana mereka bukan sahaja berpeluang menyaksikan persembahan silat dan tarian, bahkan dapat menelusuri sejarah warisan orang Melayu menerusi pameran selain mengimbau semula nostalgia permainan tradisional bangsa.

Di bawah pameran Ancient Kedah Heritage Resources dari Sungai Petani, Kedah, pengunjung didedahkan dengan bukti kajian arkeologi yang telah dijalankan di kawasan Kuala Muda sejak 2009 sehingga kini.

Difahamkan, bukti arkeologi itu datangnya daripada tapak arkeologi Sungai Batu yang sehingga kini mendedahkan empat penemuan penting dengan adanya 17 bengkel peleburan besi, 11 bukti jeti, 17 syahbandar dengan enam bangunan ritual yang digunakan masyarakat sebagai menzahirkan kepercayaan dan keagamaan pada waktu itu.

Menurut Penyelidik Lapangan Kompleks Arkeologi Sungai Batu, Dr Mohd Hasfarisham Abd Halim, pihaknya mendapati kebanyakan pengunjung berminat dengan sejarah namun kurang pendedahan.

“Apa yang kita tahu keterujaan itu ada tetapi kurang data dan pengetahuan mengenai sejarah. Justeru, pameran sebegini kita jadikan satu landasan untuk salurkan maklumat berkaitan apa itu sejarah bangsa Melayu umumnya kepada masyarakat awam.

“Orang katakan sekarang masyarakat Melayu ini golongan yang pemalas, mundurnya teknologi, tetapi kalau kita bawa bukti masyarakat Melayu sekurang-kurangnya pada 788 sebelum masihi (SM), tuan-tuan boleh lihat apa yang masyarakat Melayu tidak boleh buat.

“Pada waktu tersebut, masyarakat Melayu telah mengenal bijih besi untuk mereka melombong,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mohd Hasfarisham berkata, artifak yang dipamerkan juga mewakili artifak sebenar yang ditemui di Kompleks Arkeologi Sungai Batu.

Selain itu, terdapat juga bahagian untuk memberi pendedahan kepada masyarakat awam mengenai kaedah dilakukan untuk mendedahkan monumen ataupun bukti industri besi yang ada di Sungai Batu.

“Kita ada juga permainan untuk kanak-kanak mewarna dan menyusun puzzle yang bertemakan kajian arkeologi yang kita temukan di Kompleks Arkeologi Sungai Batu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button