Berita Utama

Pengaruh penjajah ubah Melayu hingga tak bangga budaya sendiri

Perpaduan, kesepakatan Melayu wajar dipupuk penuh tanggungjawab

Oleh Athirah Huda Zalhe

KUALA LUMPUR, 1 Muharram 1444H, Sabtu – Kedatangan dan pengaruh penjajah selama 460 tahun tidak dinafikan berjaya mengubah pemikiran orang Melayu sehingga mereka tidak lagi bangga dengan budaya sendiri.

Sedangkan, sejarah membuktikan bahawa orang Melayu bukanlah bangsa yang lemah, sebaliknya mempunyai sikap perjuangan tinggi dan ia diakui pihak dari Timur dan Barat ketika era Kesultanan Melaka.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, kota Melaka pernah dianggap sebagai tempat perkembangan ekonomi yang terpenting di dunia terutama di wilayah timur.

“Begitu juga bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua franca yang menjadi bahasa perantaraan utama dalam hubungan antarabangsa.

“Pedagang-pedagang luar terpaksa belajar bahasa Melayu jika mereka mahu berdagang di sini. 

“Malah, pelayar-pelayar Melayu terkenal akan kemampuan mereka untuk belayar di lautan, dan ada yang meriwayatkan kapal-kapal orang Melayu jauh lebih besar dan canggih dari kapal pedagang Barat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Peradaban Bangsa Melayu (HPBM) bertemakan ‘Kesatuan Melayu, Keunggulan Peradaban’ di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berharap HPBM akan melahirkan satu persepakatan dan perpaduan dalam kalangan orang Melayu kerana ia wajar dipupuk serta dipelihara dengan penuh tanggungjawab.

“Perlu diingatkan bahawa perpaduan Melayulah yang selama ini menjadi senjata paling ampuh menghancur leburkan rancangan penjajah.

“Perpaduan Melayu jugalah yang telah mencetuskan kemerdekaan negara. Perpaduan Melayulah yang memungkinkan termaktubnya keluhuran  dan kemuliaan agama Islam serta kedaulatan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button