Berita Utama

RUU kawal produk tembakau boleh selamatkan 2 juta nyawa

Tiada rekod jenayah pada golongan GEG, hanya denda jika bersalah

PUTRAJAYA, 1 Muharram 1444H, Sabtu – Sejumlah dua juta nyawa mampu diselamatkan daripada kematian serta keilatan disebabkan penyakit berkaitan aktiviti merokok dalam tempoh sehingga 2040 sekiranya Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 berkuat kuasa.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, rang undang-undang berkenaan amat penting bagi aspek kesihatan awam malah tidak banyak rang undang-undang di negara ini yang boleh menyelamatkan bilangan nyawa seramai itu.

“Sebab itu saya merayu Ahli-ahli Parlimen sama-sama (bersetuju) meluluskan rang undang-undang ini yang boleh selamatkan dua juta nyawa rakyat Malaysia daripada kematian pramatang yang disebabkan oleh (aktiviti) merokok ini.

“Selain daripada kematian pramatang, rang undang-undang ini akan dapat banyak membantu menurunkan kes-kes penyakit yang ada kaitan dengan merokok,” katanya pada temu bual khas dengan media mengenai Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, di sini.

Katanya, beliau dijadual membentangkan rang undang-undang itu bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Isnin ini (1 Ogos) dan berharap agar ia diluluskan selepas selesai sesi perbahasan, penggulungan serta pengundian terhadap rang undang-undang berkenaan pada Selasa (2 Ogos).

Rabu lepas, Khairy membentangkan rang undang-undang itu yang antara lain memperuntukkan larangan kepada Generasi Penamat (GEG) atau individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya, merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti merokok untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Khairy berkata, persetujuan untuk meluluskan rang undang-undang berkenaan amat penting supaya penjualan produk rokok terutamanya vape dapat dikawal selia di bawah akta tersendiri memandangkan tiada mekanisme perundangan untuk mengawal selia produk rokok alaf baharu itu, ketika ini.

“Sekarang ini, rokok dikawal oleh Akta Makanan 1983 dan nikotin pula dikawal selia Akta Racun 1952. Memang sekarang ini tiada undang-undang berkenaan tembakau yang khusus, hanya ada peraturan kawalan hasil tembakau yang ada di bawah Akta Makanan sahaja.

“Disebabkan itu rang undang-undang ini diperlukan kerana industri vape tidak terkawal dan ia berada di luar lingkungan undang-undang,” katanya menambah pemain industri terlibat juga memberi sokongan agar rang undang-undang itu dikuatkuasakan.

Ditanya mengenai hukuman ditetapkan dalam Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, beliau berkata, tiada rekod jenayah akan direkodkan kepada golongan GEG dan mereka hanya dikenakan hukuman denda jika disabit kesalahan.

Menurut rang undang-undang itu, individu yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya yang merokok produk tembakau atau produk pengganti tembakau, menggunakan peranti merokok atau memiliki produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok boleh didenda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.

Selain itu, individu yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya yang membeli produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau atau peranti merokok juga berdepan hukuman denda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan. 

Khairy juga yakin Kementerian Kesihatan (KKM) mampu merealisasikan GEG yang bebas daripada asap rokok termasuk mengurangkan jumlah aktiviti penyeludupan serta penjualan rokok secara haram sekiranya rang undang-undang itu dikuatkuasakan.

Katanya, malah apabila budaya bebas merokok menjadi norma masyarakat dalam kalangan individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya, secara logik permintaan terhadap produk rokok akan semakin mengecil dari semasa ke semasa sekali gus dapat mengurangkan aktiviti penyeludupan rokok di negara ini.

Beliau berkata, bagaimanapun, KKM akan terus bekerjasama dengan kementerian lain serta agensi keselamatan berkaitan dalam membanteras aktiviti tersebut terutamanya dalam tempoh dua tahun peralihan kepada GEG.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button