Dunia

Sepanyol, Brazil rekod kematian pertama cacar monyet

Kes lelaki 41 tahun disahkan ada masalah imun, komorbiditi serius

MADRID, 1 Muharram 1444H, Sabtu – Sepanyol dan Brazil melaporkan kematian pertama akibat jangkitan cacar monyet pada Jumaat, menurut pusat penyelarasan kecemasan dan amaran kementerian kesihatan.

Kes itu sekali gus menjadikan ia kematian pertama berkait cacar monyet yang berlaku di luar Afrika.

Pusat itu berkata, Sepanyol adalah salah satu negara yang paling teruk terjejas di dunia, dengan 4,298 kes jangkitan cacar monyet dilaporkan setakat ini.

“Daripada 3,750 pesakit cacar monyet dengan maklumat yang ada, 120 kes dimasukkan ke hospital (3.2 peratus) dan satu kes telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, pegawai kesihatan enggan mendedahkan punca khusus kematian itu sementara menunggu keputusan bedah siasat.

Sementara di Brazil, pihak berkuasa tempatan mengesahkan seorang lelaki berusia 41 tahun meninggal dunia akibat cacar monyet pada Jumaat.

Memetik media tempatan, lelaki terbabit mempunyai masalah sistem imun yang serius dan disahkan meninggal dunia pada Khamis di Belo Horizonte.

Dia dilaporkan sedang menerima rawatan di hospital kerana keadaan kesihatan serius lain, kata kementerian kesihatan negeri dalam satu kenyataan.

“Penting untuk ditekankan di sini bahawa lelaki itu mempunyai komorbiditi yang serius, supaya tidak mencetuskan panik dalam masyarakat.

“Setakat ini, kadar kematian adalah sangat rendah untuk cacar monyet,” kata Setiausaha Kesihatan Minas Gerais, Fabio Baccheretti.

Kementerian Kesihatan Brazil telah merekodkan hamoir 1,000 kes cacar monyet, kebanyakannya di negeri Sao Paulo dan Rio de Janeiro. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button