Berita Utama

Syor kerajaan iktiraf 1 Muharram sebagai Hari Peradaban Bangsa Melayu

PEMBELA rancang kembang naungan, bina jaringan antarabangsa

Oleh Athirah Huda Zalhe

KUALA LUMPUR, 1 Muharram 1444H, Sabtu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mencadangkan supaya kerajaan mengiktiraf 1 Muharram dijadikan sebagai Hari Peradaban Bangsa Melayu (HPBM) untuk disambut setiap tahun.

Penganjuran itu bertepatan dengan matlamat utamanya untuk memahamkan kembali rakyat mengenai konsep peradaban dan memberi keyakinan kepada orang Melayu bahawa mereka setanding bangsa lain.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, sejarah kegemilangan bangsa Melayu bukan sekadar untuk mengingati atau nostalgia indah, sebaliknya harus menjadi landasan kepada masa hadapan.

“Saya amat yakin orang Melayu adalah satu bangsa yang boleh bersaing sama ada di peringkat ‘local’ mahupun antarabangsa.

“Dengan pembinaan pemikiran yang betul dan keyakinan yang tinggi, kita boleh maju dan kembali menjadi bangsa yang disegani,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Peradaban Bangsa Melayu di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni dan Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim.

Bertemakan ‘Kesatuan Melayu, Keunggulan Peradaban’, HPBM yang julung kali diadakan dimeriahkan dengan ribuan pengunjung dari seluruh negara menerusi pelbagai aktiviti dan pameran kebudayaan.

Aminuddin berkata, PEMBELA merancang untuk mengembangkan naungan dengan membina jaringan antarabangsa ke arah mengembalikan kegemilangan Peradaban Archipelago Melayu Nusantara.

Maka, bagi merealisasikannya, beberapa projek telah dirangka antaranya melaksanakan kempen peradaban, kempen Buy Muslim First (BMF) dan mengarusperdanakan syariat.

“Untuk memastikan sejarah dan peradaban Melayu ini kekal dan megah, maka kita memohon kepada kerajaan untuk memberikan sebuah bangunan peradaban Melayu bagi menempatkan segala khazanah dan sejarah bangsa Melayu.

“Harapan saya agar HPBM ini mampu memberikan rangsangan kepada orang Melayu untuk bangkit dan kembali mencipta sejarah,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyeru masyarakat lain untuk bersama-sama memeriahkan acara berkenaan bagi memahami sejarah orang Melayu.

Malah, beliau turut berharap penganjuran HPBM dapat menarik minat bukan sahaja rakyat di negara ini, tetapi juga pelancong dari luar negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button