Berita Utama

HPBM langkah pertama hidupkan semula peradaban Melayu, wajar dijadikan acara tahunan

Festival ini hidupkan semula budaya yang sepatutnya dilihat sebagai warisan negara

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 2 Muharram 1444H, Ahad – Penerimaan masyarakat terhadap Hari Peradaban Bangsa Melayu (HPBM) dilihat sebagai langkah penting dalam menghidupkan semula peradaban Melayu di bumi ini.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, perkara ini perlu dilihat sebagai langkah penting dan mewajarkan ia dijadikan acara tahunan bertepatan sambutan tahun baharu mengikut kalender Islam.

“Kita mengharapkan temasya yang dianjurkan akan dijadikan acara tahunan yang bukan sahaja dapat menghimpunkan bangsa-bangsa Melayu sahaja tetapi turut disertai kaum-kaum lain dalam acara yang lebih hebat dalam penganjuran pada masa akan datang bersama sokongan pihak-pihak lain.

“Pemilihan 1 Muharam sebagai penganjuran festival ini adalah untuk membuktikan ini adalah tarikh keramat untuk bangsa Melayu dan perlu diraikan pada setiap tahun.

“Dengan penganjuran ini, kita mampu memberi pendedahan sebenar terhadap golongan muda khususnya tentang kehebatan bangsa kita yang selama ini kurang ditonjolkan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Katanya, HPBM dijangka lebih meriah sekiranya mendapat sokongan semua pihak dan tidak menjadikan penganjurannya sebagai ancaman kepada kaum-kaum lain.

Katanya lagi, walaupun temanya menjurus ke arah peradaban Melayu namun penganjur turut mengalu-alukan kehadiran bangsa lain dan tiada halangan untuk golongan tersebut meraikan bersama.

“Tiada halangan bagi bangsa-bangsa lain untuk menyertai, kalau orang lain boleh mengajak orang Melayu menyertai festival Bon Odori, sebenarnya kita juga turut mengajak bangsa-bangsa lain dan penganut agama lain hadir memeriahkan.

“Tidak perlu perkara ini dijadikan diskriminasi atau pemisahan orang Melayu dan orang bukan Melayu kerana ia suatu yang dirayakan dan festival ini untuk menghidupkan semula budaya yang bertapak sekian lama di bumi ini.

“Malah, ia sepatutnya dilihat sebagai warisan negara yang perlu dilindungi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita ISMA, Ustazah Dr Suriani Sudi menyifatkan, HPBM yang dianjurkan buat julung kali berjaya menonjolkan peradaban Melayu yang penuh dengan keberanian, adab kesopanan dan bertunjangkan agama serta syariat.

Beliau mengakui, kegemilangan orang Melayu perlu diturunkan ke generasi muda agar mereka mengetahui sejarah perjuangan nenek moyang.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk terus memastikan bangsa Melayu masih wujud di muka bumi ini dan agar mereka sentiasa menghargai perjuangan nenek moyang yang memastikan agar agama sentiasa hidup dalam jiwa dan ruh anak bangsa,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Jabatan al-Quran dan Sunnah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) menyifatkan, Melayu adalah bangsa yang dimuliakan Allah SWT dengan Islam dan menjadi tanggungjawab kepada semua pihak menjaga amanah itu.

Semalam, kira-kira 8,000 orang mengunjungi sambutan HPBM di Padang Bolasepak KLFA, Kuala Lumpur dengan menampilkan pelbagai budaya kesenian orang Melayu.

Di samping disajikan dengan persembahan menarik, para pengunjung juga berpeluang menyertai beberapa pertandingan dianjurkan antaranya sukan rakyat.

Selain itu, reruai pameran turut disediakan yang berkisah kepada sejarah Melayu antaranya berkaitan busana dan tanjak, seni persilatan, tulisan khat serta artifak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button