Berita Utama

Ahli Parlimen diseru sokong RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022

Dalam usaha mewujudkan generasi ‘bebas rokok’ di negara ini

KUALA LUMPUR, 2 Muharram 1444H, Ahad – Usaha Kementerian Kesihatan dalam mewujudkan generasi ‘bebas rokok’ menerusi Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 wajar diberi sokongan jitu oleh semua Ahli Parlimen merentasi jurang politik.

Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (JKPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Ahli Parlimen perlu menunjukkan kesungguhan politik yang berani dan semangat kenegarawan yang tinggi dalam membantu melaksanakan rang undang-undang itu bagi mencipta legasi kesihatan yang benar-benar berkesan serta berkekalan untuk negara.

Katanya kebimbangan bahawa larangan tembakau bagi generasi yang lahir selepas 1 Jan 2007 iaitu Generasi Penamat (GEG) akan mencetuskan masalah berkaitan pelanggaran kebebasan peribadi kelak adalah tidak berasas.

“Penggunaan tembakau bukan seperti pengambilan makanan manis atau minuman beralkohol justeru perbandingan tersebut tidak relevan. Selain itu, tidak ada tahap merokok yang selamat dan ia membahayakan alam sekitar dan orang yang tidak bersalah di sekitarnya.

“Justeru, JKPM menggesa semua Ahli Parlimen untuk merebut peluang ini dan memastikan tempat mereka dalam sejarah dengan berani menyokong cadangan larangan tembakau GEG berperingkat ini. Kerajaan juga perlu memastikan penguatkuasaan undang-undang yang tegas, adil, konsisten dan berterusan,” menurut kenyataan itu.

JKPM turut menekankan bahawa pelaksanaan undang-undang pencegahan itu dilihat tepat pada masanya dalam membawa perubahan dan memberi manfaat kepada generasi masa hadapan.

Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan PENAWAR Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kebangsaan Datuk Jamelah A Bakar pula berkata negara perlu mempunyai rang undang-undang khas berhubung produk tembakau serta tabiat merokok, dan bukannya sekadar dimasukkan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau sedia ada.

“PEMADAM menyeru kepada semua Ahli Parlimen agar menyokong rang undang-undang yang telah dibentangkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Ia adalah untuk menjamin kesihatan awam dan melindungi rakyat kita serta keluarga Malaysia daripada ancaman bahaya produk merokok,” menurutnya dalam kenyataan.

Semalam, Khairy memaklumkan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang bertujuan mewujudkan GEG atau individu lahir 1 Januari 2007 dan seterusnya bebas merokok, tidak akan menjejaskan ekonomi negara.

Khairy berkata berdasarkan kajian mendalam yang dijalankan pihaknya, industri tembakau hanya memberi kesan sebanyak 0.18 peratus sahaja terhadap keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada 27 Julai lepas, beliau membentangkan rang undang-undang itu, yang melarang individu lahir pada 2007 dan seterusnya merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti merokok untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button