Berita Utama

Muafakat Nasional Plus terhenti apabila Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan

Itu pendapat peribadi Muhyiddin,perkara itu sudah berakhir: Mahdzir Khalid

KOTA TINGGI, 2 Muharram 1444H, AhadCadangan untuk mewujudkan Muafakat Nasional (MN) Plus melibatkan gabungan UMNO, Bersatu dan PAS telah terhenti apabila Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata. ketika itu sememangnya ada cadangan diwujudkan MN Plus dan Bersatu, tetapi selepas PN didaftarkan, ia sudah berakhir.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu semalam bahawa gabungan tiga parti Melayu terbesar- Bersatu, PAS dan UMNO dilihat mampu memenangi PRU dengan selesa sekiranya MN Plus menjadi realiti.

“Mengenai MN (Plus) itu adalah pendapat peribadi beliau (Muhyiddin), namun perkara itu sudah berakhir dan sudah lebih setahun berlalu.

Pandangan peribadi saya setakat ini, BN dalam perkiraan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)  (bertanding) atas sifat solo. Bagaimanapun terpulang kepada keputusan parti,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di Dewan Kejora, hari ini.

Sementara itu, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata. keputusan Dewan Rakyat meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti baru-baru ini dan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tahun lepas, adalah kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Beliau berkata, Ahli Dewan Rakyat dilihat memberikan sokongan kepada Perdana Menteri tanpa mengira parti politik.

“Beliau ada dua kejayaan, pertamanya pindaan Perlembagaan Persekutuan MA63 yang mendapat dua pertiga sokongan, ini pun pembangkang bagi sokongan… lebih 148 orang (menyokong).

“Sekali lagi, Perdana Menteri dapat (sokongan) 209 Ahli Parlimen iaitu lebih dua pertiga majoriti (rang undang-undang berkaitan lompat parti), ini merupakan satu kejayaan beliau,” katanya. – Bernama 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button