Berita Utama

Pemimpin UMNO harus dipersalah kerana lewat tubuh MN: Presiden PAS

'Sikap segelintir pemimpin UMNO telah menimbulkan ‘masalah’ menyebabkan keadaan menjadi sukar'

BANGI, 2 Muharram 1444H, Ahad – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa pemimpin UMNO perlu persalahkan di atas kelewatan penubuhan Muafakat Nasional (MN) secara rasmi, sebelum ini.

Katanya, sikap segelintir pemimpin UMNO telah menimbulkan ‘masalah’ menyebabkan keadaan menjadi sukar untuk mengambil langkah seterusnya dalam gabungan berkenaan.

“UMNO sebelum ini menolak cadangan PAS supaya Bersatu dimasukkan sebagai ahli MN.

“Namun, UMNO akhirnya bersetuju menerima Bersatu selepas kami mendesak mereka berbuat demikian.

“Namun apabila tiba masa pelancaran (MN), UMNO meminta ia ditangguhkan. Jadi, bukan kami yang melengahkan MN. Akibatnya, MN masih belum diwujudkan,” katanya seperti dipetik harakahdaily.net, hari ini.

Beliau menjelaskan terdapat sebahagian pemimpin UMNO yang memutuskan untuk menolak kepimpinan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyebabkan beliau meletak jawatan Ogos lalu.

Katanya, Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), terpaksa berundur selepas 11 Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan mereka terhadapnya.

“Demi kelangsungan hidup PN, Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Ini tidak mudah dan selain itu, tidak juga menerima Perdana Menteri daripada UMNO,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Marang itu yang berucap pada Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Negeri Terengganu di Dewan Tok Guru, Rusila di Marang mengimbas semula sejarah penting sambil menjelaskan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mencabar Islam dan hak istimewa orang Melayu.

“Buat macam-macam nak rungkai. Asas yang penting dalam Perlembagaan, nak dirungkainya. Berani cabar, hina Islam dan macam-macam.

“Akhirnya PAS berunding dengan pimpinan Bersatu dan PH mengajak buat satu perubahan melalui Parlimen, melalui demokrasi. (Tetapi) Jumlah Ahli Parlimen yang cukup.

“Oleh kerana PAS dengan Bersatu saja tak cukup, mesti ajak UMNO berunding. Alhamdulillah, terdapat kalangan UMNO yang menerima perubahan ini. Maka berlakulah kerusi yang cukup untuk ubah kerajaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button