Berita Utama

Rakyat Sarawak disaran hayati maksud Keluarga Malaysia

Hanya dengan kesatuan dan perpaduan mampu mencapai kemakmuran

KUCHING, 2 Muharram 1444H, AhadMenteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof mahu rakyat bersama menghayati dan mendalami maksud Keluarga Malaysia sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022.

Beliau berkata, konteks Keluarga Malaysia dilihat sebagai satu hijrah iaitu pengorbanan dan perjuangan yang membawa maksud kesatuan dalam seluruh keluarga di negara ini.

“Hanya dengan kesatuan dan perpaduan kita mampu mencapai kemakmuran. Ini adalah perjuangan semua, jadi iltizam kita sempena Maal Hijrah tahun ini adalah untuk memupuk dan menyemai perpaduan,” katanya semasa berucap pada Majlis Penutupan Festival Maal Hijrah di Masjid Negeri Sarawak hari ini.

Dalam perkembangan lain, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, masjid bukan sahaja berperanan sebagai institusi yang menyatukan ummah malah dilihat menjadi tempat untuk menuntut ilmu.

Menurutnya sebagai contoh pihak masjid mungkin boleh memanggil pakar motivasi yang boleh berkongsi ilmu untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang dalam membentuk anak-anak atau membuat kelas bimbingan.

“Jangan hadkan penyertaannya kepada umat Islam saja, sebaliknya buka peluang kepada orang bukan Islam untuk turut serta bagi membolehkan mereka memahami agama dan budaya Islam sekali gus mempupuk perasaan saling menghormati.

“Dalam masa yang sama, umat Islam juga dapat memahami adat dan budaya agama lain. Kita mungkin boleh mengadakan program perkongsian dengan menjemput orang bukan Islam untuk memberi penjelasan tentang hubung kait antara agama Islam dan bukan Islam,” katanya. – Bernama

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button