Berita Utama

Sultan Nazrin berkenan berangkat ke sambutan Hari Pahlawan 2022 negeri Perak

Turut hadir diiringi Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa

IPOH, 2 Muharram 1444H, Ahad – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menghadiri Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2022 Negeri Perak di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Ketibaan baginda pada pukul 9 pagi diiringi Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak diikuti pemeriksaan kawalan kehormatan oleh Sultan Nazrin yang terdiri daripada tiga pegawai kanan dan 102 pegawai rendah polis dari Batalion 1 Pasukan Gerakan Am dipimpin DSP Md Shazni Md Shariff selaku pegawai baris manakala pegawai pembawa panji-panji adalah Insp Mohd Izar Ramli.

Sebaik kawalan kehormatan selesai, tiupan Paluan Akhir dimainkan dan Jalur Gemilang kemudian diturunkan.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan doa khas Hari Pahlawan oleh ASP Mohd Mahyuddin Mohd Mokhtar dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dan diikuti deklamasi sajak bertajuk Pahlawanku yang dideklamasikan oleh ASP Ahirrudin Mat Saad yang juga pegawai dari Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am.

Sebaik selesai, tiupan rouse kemudian dimainkan dan Jalur Gemilang dinaikkan semula diikuti lagu kebesaran negeri Perak sebelum kawalan kehormatan keluar perbarisan menandakan penamat upacara.

Sultan Nazrin kemudian berkenan berangkat ke Majlis Santapan dan menyaksikan beberapa persembahan nyanyian dan pentomen di Dewan Bankuet sebelum berangkat pulang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button