Berita Utama

Tak perlu ungkit penyatuan BN, PAS dan Bersatu

BN tetap mahu bergerak solo, kata Mahdzir Khalid

KOTA TINGGI, 2 Muharram 1444H, Ahad – Tidak perlu lagi diungkit cadangan mewujudkan Muafakat Nasional (MN) Plus, kerana ia sudah pun terhenti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid membayangkan cita-cita itu sudah tidak lagi relevan apabila Bersatu menubuhkan Perikatan Nasional (PN).

Malam tadi, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata beliau yakin kemenangan selesa lebih dua pertiga boleh dicapai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika kerjasama parti Melayu Islam (BN, Bersatu dan PAS) dalam MN benar-benar terjalin.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, UMNO membuat keputusan menolak Bersatu dan PAS daripada menyertai MN.

Mahdzir menyifatkan kenyataan Muhyiddin mengenai MN malam tadi itu sebagai pendapat peribadi beliau. 

“Saya fikir benda itu sudah lepas, lebih daripada setahun sudah berlalu. Waktu itu memang betul ada MN dan Bersatu. Ada cadangan juga pada waktu itu untuk menubuhkan MN Plus.

 

“Namun, apabila Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan dan didaftarkan, benda itu (MN Plus) terhenti di situ,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Dewan KEJORA, hari ini.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, UMNO dan BN akan bergerak solo bagi menghadapi PRU15 kecuali pucuk pimpinan memutuskan sebaliknya.

Beliau seperti dilapor BH menegaskan, buat masa ini parti itu dan BN kekal dengan pendirian berkenaan.

“Pandangan peribadi saya, setakat ini BN dalam perkiraan PRU15 ini atas sifat solo, bagaimanapun ia terpulang kepada keputusan parti membuat keputusan muktamad.

“Kenyataan Tan Sri Muhyiddin itu tak perlu diungkit semula. Politik ini dinamik apabila benda sudah lepas macam itu, bila nak patah balik, ia lambat nak jadi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button