Berita Utama

Pemuda ISMA serah kepada polis siasat Ronnie Liu

Hantaran di Facebook, pemimpin DAP disiasat ikut Akta Hasutan

BANGI, 10 Rabiulawal 1442H, Selasa – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat pemimpin DAP, Ronnie Liu – berhubung hantaran kontroversi di Facebook – yang didakwa berunsur hasutan. 

Pemuda ISMA dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyambut baik tindakan yang diambil polis untuk menjalankan siasatan ke atas Ronnie mengikut Akta Hasutan.

“Beberapa laporan polis telah dibuat oleh Pemuda ISMA di seluruh Malaysia pada minggu lalu berikutan sebaran tulisan Ronnie Liu yang dikhuatiri bermaksud menghasut rakyat memberontak terhadap Raja-Raja Melayu.

“Kami menyerahkan sepenuhnya siasatan ini kepada pihak berkuasa,” katanya.

Sebelum ini, hantaran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu mencetuskan kemarahan rata-rata pengguna media sosial kerana didakwa seolah-olah cuba menghasut rakyat membenci raja.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Ronnie disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja atau kerajaan.

Selain itu, dia turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Menerusi hantaran kontroversi itu, Ronnie memuat naik keadaan di Thailand yang mengadakan demontrasi terhadap rajanya.

“Sekarang di Bangkok. Mereka (rakyat Thailand) mengatakan tidak kepada raja,” menurut Ronnie yang turut memaparkan tiga keping gambar di negara jiran itu.

Susulan itu, beberapa laporan polis telah dibuat oleh Pemuda ISMA dan NGO Melayu lain, menuntut pihak polis menjalankan siasatan ke atas pemimpin DAP berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button