Dunia

India pula rekod kematian pertama cacar monyet

Mangsa disah positif ketika di UAE sebelum pulang ke Kerala

NEW DELHI, 3 Muharram 1444H, Isnin – India mengesahkan kematian pertama cacar monyet pada Isnin, membabitkan seorang lelaki berusia 22 tahun di negeri selatan Kerala.

Kematian di India itu sekali gus menjadikan korban pertama membabitkan wabak berkenaan di Asia.

Pihak berkuasa Kerala memaklumkan, mangsa meninggal dunia pada Sabtu lalu, dan disahkan positif cacar monyet ketika di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum kembali ke India.

“Mangsa tiba di Kerala pada 21 Julai tetapi mendapatkan rawatan di hospital pada 26 Julai apabila mengalami simptom keletihan dan demam,” kata Menteri Hasil Kerala, K Rajan.

Katanya, seramai 21 kontak rapat mangsa telah diasingkan namun tiada di antara mereka yang menunjukkan gejala.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Kerala, Veena George berkata, keluarga mangsa mengesahkan bahawa dia disahkan positif ketika di UAE sebelum pulang ke India.

Kementerian Kesihatan India enggan mengulas mengenai kematian itu, namun memaklumkan bahawa kerajaan membentuk pasukan petugas bagi memantau kes cacar monyet di negara ini.

Selain India, Sepanyol dan Brazil juga antara negara yang melaporkan kes kematian pertamanya, baru-baru ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, sebanyak 78 negara telah melaporkan lebih 18,000 kes cacar monyet, di mana kebanyakannya di Eropah.

Wabak itu juga kini diisytihar sebagai kecemasan kesihatan global – penggera amaran tertinggi daripada WHO. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button