Berita Utama

Inspektor, dua konstabel ditahan bantu siasatan curi wang ketika serbuan

Ambil wang sitaan hasil jual tanah dan santan berjumlah RM45,000

KOTA BHARU, 3 Muharram 1444H, Isnin – Seorang anggota polis berpangkat inspektor bersama dua konstabel ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengambil sejumlah wang ketika melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Pasir Kelang Baru, Kuala Krai dekat sini Selasa lepas (26 Julai).

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata tangkapan tiga anggota berusia antara 20-an dan 30-an itu dilakukan pada Sabtu lepas (30 Julai) selepas menerima laporan daripada seorang pengadu wanita.

Beliau berkata berdasarkan aduan yang diterima, wanita berusia 68 tahun itu memaklumkan pada 4.30 petang Selasa lepas rumahnya didatangi tiga lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis bagi menahan anak lelakinya berhubung kesalahan dadah.

“Wanita itu mendakwa polis tersebut telah meminta anak kunci almari dan menggeledah almari kayu yang berada di dalam biliknya sebelum mengambil wang hasil jualan tanah dan santan berjumlah kira-kira RM45,000 untuk sitaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya pengadu kemudian telah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai tetapi dimaklumkan hanya wang berjumlah RM4,500 sahaja yang disita

Muhamad Zaki berkata pegawai dan anggota polis yang ditahan itu kini direman empat hari hingga esok bagi membantu siasatan.

Katanya sehingga kini tiada pengakuan daripada ketiga-tiga yang ditahan dan siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi dalam bangunan.

“Serbuan ke rumah tersebut sebenarnya bagi menahan anak lelaki pengadu berusia 20-an, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button