Berita Utama

‘Kenapa Mandarin saja?’

Penggunaan bahasa Mandarin cacatkan objektif Bulan Kebangsaan

BANGI, 3 Muharram 1444H, Isnin – Sudah terang lagi bersuluh bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan lagi dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 sebagai penyatuan rakyat Malaysia.

Justeru, tindakan yang kelihatan ‘mengangkat’ bahasa lain tidak boleh diterima sama sekali apatah lagi diambil ringan.

Merujuk kepada laporan sebuah portal berita bertajuk Pelancaran Bulan Kebangsaan: Penguasaan Bahasa Mandarin jadi bonus buat pengacara, Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berpandangan ia sangat bermasalah dan tidak kena.

“Untuk siapa pengacara berbahasa Mandarin? Kalau untuk media antarabangsa, kenapa Mandarin sahaja? Kalau untuk masyarakat majmuk Malaysia juga, kenapa Mandarin sahaja?

“Kenalah ada berpuluh-puluh pengacara yang menguasai bahasa semua kaum dan etnik di Malaysia.

“Kita sudah 65 tahun merdeka. Bukankah Bulan Kebangsaan ini sepatutnya mengingatkan kita semua rakyat Malaysia agar fasih dalam bahasa kebangsaan kita?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau mengakui tidak memahami konsep ‘bonus’ yang digunakan portal berkenaan.

“Keseluruhan tajuk atau kaedah pengacaraan sebenarnya telahpun mencacatkan objektif Bulan Kebangsaan kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button