Berita Utama

Kes baharu COVID-19 menurun 5.2 peratus: KP Kesihatan

Menurun dalam tempoh masa 24 hingga 30 Julai

KUALA LUMPUR, 3 Muharram 1444H, Isnin – Bilangan kes baharu COVID-19 pada Minggu Epidemiologi ke-30 (ME 30/2022) dari 24 hingga 30 Julai menurun sebanyak 5.2 peratus berbanding ME 29/2022 iaitu daripada 29,886 kes kepada 28,339 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada tempoh sama bilangan kes tempatan menurun sebanyak 5.3 peratus daripada 29,858 kes kepada 28,286 kes manakala kes import meningkat sebanyak 89.3 peratus daripada 28 kes kepada 53 kes.

“Bilangan kes sembuh pada ME 30/2022 pula meningkat sebanyak 35.4 peratus menjadi 30,823 kes berbanding 22,757 kes pada ME 29/2022 manakala kes kematian mencatatkan penurunan 28.6 peratus iaitu 49 kes berbanding 63 kes pada tempoh itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata dari 25 Jan 2020 (ME 4/2020) hingga 30 Julai 2022 (ME 30/2022), kumulatif kes baharu COVID-19 di seluruh negara adalah 4,677,270 sementara kumulatif kes sembuh sebanyak 4,594,311 kes dan kumulatif kes kematian 35,960 kes manakala kumulatif kluster adalah 7,038 kluster dengan 19 kluster aktif.

Secara keseluruhan, beliau berkata jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan iaitu hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk tiada perubahan ditunjukkan pada ME 30/2022 berbanding minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, katanya jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 2.8 peratus, dengan bilangan pesakit kategori satu dan dua meningkat 5.6 peratus manakala tiada perubahan bagi pesakit kategori tiga, empat, dan lima.

Menurut Dr Noor Hisham, peratusan pengisian katil fasiliti COVID-19 bagi katil bukan kritikal, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan PKRC pada ME 30/2022 berbanding minggu sebelumnya menunjukkan tiada perubahan iaitu masing-masing kekal sebanyak 23, 14 dan tujuh peratus.

Beliau berkata kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara masih lagi menunjukkan peningkatan berdasarkan perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 29/2022 dan ME 30/2022.

“Bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 3.2 peratus, bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 0.5 peratus, dan bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC dan hospital menurun sebanyak 19.9 peratus,” katanya.

Bagi survelan Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) COVID-19, beliau memaklumkan sebanyak 107 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 14.5 peratus pada ME 30/2022 manakala tiada sampel SARI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif kekal sifar peratus pada ME 30/2022.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button