Berita Utama

KKM setuju pinda RUU kawal produk tembakau, kurangkan denda ke RM500

Peruntukan asal kenakan denda sebanyak RM5,000

KUALA LUMPUR, 3 Muharram 1444H, Isnin – Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju meminda kuantum denda bagi kesalahan dilakukan generasi yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya atau dikenali Generasi Penamat (GEG) dalam Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 kepada RM500 atau perintah khidmat masyarakat berbanding peruntukan asal sebanyak RM5,000.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata ia susulan perbincangan dan persetujuan serta kompromi secara bersama antara KKM dan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial Parlimen pada hari ini.

“Bagi memastikan akta yang berkuat kuasa selepas ini tidak dilihat bersifat punitif, kesalahan yang dilakukan golongan GEG hanya menetapkan denda maksimum RM500 atau khidmat masyarakat malah apa-apa kesalahan yang dilakukan golongan ini akan terlebih dahulu ditawarkan kompaun,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata KKM juga bersetuju melakukan pindaan dalam peringkat Jawatankuasa Dewan Rakyat untuk menghalang pemeriksaan badan dilakukan ke atas mana-mana individu yang belum mencapai usia 18 tahun.

Selain itu, katanya peruntukan bagi kesalahan pemilikan apa-apa produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok juga akan dipinda. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button