Berita Utama

Loh Siew Hong dibenar cabar penukaran agama tiga anak beragama Islam

Permohonan kebenaran semakan mesti difail dalam tempoh 90 hari: Hakim

BANGI, 3 Muharram 1444H, Isnin – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan ibu tunggal, Loh Siew Hong bagi mendapatkan kebenaran melakukan semakan kehakiman untuk mendapatkan deklarasi bahawa bekas suaminya tidak layak untuk mengislamkan anak-anak mereka.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, aduan Loh mempunyai merit untuk didengarkan di mahkamah.

“Permohonannya untuk mendapat kebenaran tidak remeh, sebaliknya kesnya boleh dipertahankan,” kata hakim ketika menyampaikan keputusan prosiding secara dalam talian.

4 Mac lalu, Loh telah menulis kepada pendaftar mualaf untuk memastikan penukaran agama itu.

Permohonan kebenaran itu kemudian difailkan pada 25 Mac selepas mendapat jawapan, dibuat dalam tempoh yang wajar.

Sebelum ini, Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Perlis, (MAIPs) yang diwakili peguam Mohamed Hanif Khatri Abdulla meminta, mahkamah menolak permohonan Loh kerana pertukaran agama itu dilakukan kira-kira dua tahun lalu iaitu pada 2020.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Farid berkata, permohonan untuk kebenaran semakan kehakiman mesti difailkan dalam tempoh 90 hari selepas pihak berkuasa memaklumkan keputusannya kepada pihak yang terkilan.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun tidak membantah kebenaran yang dimohon oleh ibu tunggal berkenaan.

Dalam permohonan tersebut, Loh berkata, anak-anaknya telah ditukar agama pada 7 Julai 2020 tanpa pengetahuannya.

Peguam Loh, A Srimurugan berhujah mendedahkan anak guamnya hanya mengetahui tarikh sebenar penukaran agama anak-anaknya selepas mendapat semula hak penjagaan pada 21 Februari tahun ini.

Pada hari sama, Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan habeas corpus Loh untuk mendapatkan semula hak penjagaan daripada pendakwah Nazirah Nanthakumari Abdullah.

Susulan itu, Srimurugan berkata, pihaknya telah menulis kepada pendaftar mengenai status penukaran agama itu sejurus selepas Sequerah membuat penghakiman.

Loh dalam masa sama turut memohon deklarasi bahawa peruntukan dalam enakmen negeri Perlis yang membenarkan ibu atau bapa menukar agama anak bawah umur secara unilateral bercanggah dengan Perlembagaan.

Beliau juga mahukan deklarasi terhadap anak kembar perempuannya dan anak lelakinya beragama Hindu dan secara sah tidak berupaya untuk memeluk Islam tanpa kebenarannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button