Berita Utama

PRU15 penentu nasib Undi18 5 tahun lagi

Beri peluang GTA-Pejuang pimpin negara

BANGI, 12 Rabiulakhir 1444H, Isnin – Golongan belia dan pengundi 18 tahun perlu memastikan calon pemimpin kompeten dan berwibawa sahaja dihantar ke Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ini kerana, golongan belia antara komponen masyarakat yang sangat penting dalam menentukan hala tuju negara, apatah lagi dengan pelaksanaan Undi18 pada pilihan raya kali ini.

Justeru, calon Pejuang di kerusi P082 Indera Mahkota, Dr Mohamad Nor Sundari mengajak golongan belia memberi peluang kepada Gerakan Tanah Air (GTA) memenuhi barisan kepimpinan baharu negara selepas PRU15.

“Golongan belia seawal usia 18 tahun telah diberi kepercayaan dan amanah untuk mengundi calon DUN dan Parlimen yang akan membentuk Kabinet dan kepimpinan negara.

“Andai kata usia anak muda pada tahun ini adalah 18 tahun, maka undi mereka dalam PRU15 akan memberi kesan kepada diri mereka buat lima tahun seterusnya iaitu pada usia sekitar 18 sehingga 23 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam usia itu, Dr Mohamad Nor berkata, golongan belia berada di dalam fasa melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dan kemudiannya melangkah ke alam kerjaya.

Maka, tiga kementerian akan memberi kesan secara langsung kepada golongan belia pada fasa berkenaan adalah pendidikan, belia dan sukan serta kewangan.

“Belia mahukan Menteri Pendidikan yang berpengalaman dan profesional dalam memperkasa dasar dan polisi pendidikan negara, bukannya menteri yang sibuk bertik-tok dan mencampuradukkan politik dengan pendidikan anak bangsa.

“Belia mahukan Menteri Belia dan Sukan yang kompeten dan benar-benar ikhlas dalam memperkasa anak muda, bukannya menteri yang populis demi meraih undi semata-mata.

“Belia mahukan Menteri Kewangan yang berkapasiti untuk memulih dan memacu ekonomi negara serta menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda, bukannya menteri yang menjaga poket sendiri dan kroni sahaja,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button