Palestin rekod lonjakan kes COVID-19 minggu lalu
8,969 jangkitan baharu, Semenanjung Gaza rekod kes tertinggi

RAMALLAH, 3 Muharram 1444H, Isnin – Palestin merekodkan lonjakan mendadak jumlah kes baharu COVID-19 minggu lalu, terutama di Semenanjung Gaza yang terkepung.
Data Kementerian Kesihatan yang diterbitkan hari ini menunjukkan 10 kematian direkodkan akibat COVID-19 dalam tempoh antara 24 hingga 31 Julai lalu.
Sementara, sebanyak 8,969 kes baharu dilaporkan dalam tempoh sama selepas 22,434 saringan dilakukan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza sahaja.
Katanya, empat kematian dan 2,087 kes baharu direkodkan di Tebing Barat, manakala 2,599 lagi pesakit sembuh.
Di Semenanjung Gaza, enam kematian dan 6,082 kes baharu dilaporkan serta 674 pesakit pulih.
Sebanyak 800 kes baharu dan 1,240 kes sembuh direkodkan di Baitulmaqdis Timur.
Kementerian berkata, 36 pesakit COVID-19 sedang mendapatkan rawatan di hospital, di mana tiga daripadanya di bawah pemantauan unit rawatan rapi. – Agensi