Artikel Khas

Sarawak perlu kembali kepada akar dan sejarah dalam pendidikan

UEC bukan soal sijil semata, tetapi pembinaan negara bangsa

SEDIH teramat saya apabila seorang Timbalan Menteri Sarawak berjanji negeri itu akan terus mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), walaupun Putrajaya keberatan berbuat demikian.

Sudahkah kajian dibuat sedalam-dalamnya tentang operasi UEC. Jika belum, buatlah kajian, jangan bercakap ikut sedap mulut.

UEC tidak membawa kepada pembinaan negara bangsa. Proses pencinaannya amat dahsyat. Sudahlah semua subjek diajar dalam bahasa Cina, sama seperti SJKC, subjek sejarahnya diselewengkan sehingga tersasar daripada landasan sebenarnya. Ini belum termasuk kemampuan untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Penguasaan bahasa Inggeris turut terjejas disebabkan oleh proses pencinaan tersebut.

Saya tidak ada masalah jika Sarawak mahu mendaulatkan bahasa Inggeris, tetapi jangan sampai bahasa Melayu, sebagai bahasa negara, bahasa perpaduan dipinggirkan.

Apa yang menyatukan etnik-etnik di Sarawak kalau bukan bahasa Melayu. Mana bahasa Inggeris yang menyatukan Sarawak selama ini.

Tidak siapa menafikan soal menghargai bakat. Tidak siapa menafikan soal modal insan. Kita hargai semua itu. Tetapi modal negara bagaimana? Modal insan tidak cukup tanpa modal negara.

Modal negara Sarawak adalah sejarahnya, sama seperti Semenanjung Tanah Melayu. Sejarah dan Perlembagaan adalah darah dagingnya.

Persoalannya, adakah sejarah di Sarawak diajar dengan betul dalam silibus sejarah UEC? Siapakah pejuang-pejuang ketika Sarawak ‘dijajah’. Adakah lepasan UEC bangun menentang penjajah. Apakah nama Rentap ada dalam silibus UEC. Jika tidak ada, elok Timbalan Menteri berkenaan pergi lihat. Buatlah kajian. Jangan bercakap hanya undi dan funder.

Cuba YB Menteri suruh pelajar UEC baca buku bertajuk “The History of Iban Settlements Around Kuching City, Sarawak tulisan Pah Foh Chang 2006. Elok juga bedah buku ini, bagaimana Cina yang kurang ultra kiasu menulis buku mengikut perspektif sebenar.

Penceritaan sebenar daripada generasi keenam Rentap Libau iaitu Subang anak Dunggau. Hebatnya perjuangan Rentap apabila mengetahui rancangan buruk Brooke yang ingin mengambil tanah orang Iban di Skrang dan Saribas, selain mengenakan cukai yang begitu tinggi ke atas Bumiputera di atas tanah mereka sendiri.

Kemuncak penentangan Rentap Libau ke atas pemerintahan Brooke dilunaskan apabila pada 19hb Ogos 1844, perang Rentap ke atas Brooke di Skrang bermula. Itulah perang pertama Rentap ke atas Rajah Brooke yang melibatkan ribuan perahu daripada pengikut Rentap Libau. Dalam perang ini, Rentap berjaya mengalahkan armada tentera Sarawak Brooke dengan berjaya mengorbankan tenterea Brooke. Ini seterusnya dengan beberapa siri serangan lain.

Kemuncaknya, pada 31 Julai 1849, pertempuran paling besar pernah dicatatkan dalam kalendar perang di Sarawak yang dikenali sebagai Perang Beting Marao. Walaupun nampak Rentap seakan ‘kalah’, namun pertempuran seterusnya membawa kepada kejayaan untuk menghalau Brooke keluar daripada bumi Sarawak. Adakah semua ini diceritakan dalam EUC?

Soal kerajaan Sarawak menambah geran sehingga RM10 juta setahun kepada sekolah Cina persendirian, terpulanglah. Itu hak Sarawak. Tetapi janganlah sindir kerajaan persekutuan yang masih tidak mengiktiraf UEC.

Jika YB Menteri begitu teruja mahu memberi biasiswa kepada UEC berilah, tetapi keutamaan hendaklah kepada bumiputera Sarawak. Hidupnya Sarawak hingga ke hari ini adalah disebabkan Bumiputera yang begitu banyak berkorban. Apakah kerana orang UEC banyak memberikan kewangan kepada parti-parti politik YB Menteri untuk menang pilihan raya, sehingga kita lupa asal-usul kita?

Apabila Menteri Pendidikan mengeluarkan kenyataan bahawa kementeriannya kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf UEC kerana ia bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Ini keputusan berasaskan kepada kajian yang mendalam.

Saya ingin ingatkan, sebagai orang bijak pandai, buatlah keputusan setelah melakukan kajian dan penyelidikan. Jangan hanya melihat bakat. Orang yang tak pergi sekolah pun ada bakat. Bakat perlu disertai dengan kesedaran membina negara. Modal insan tidak cukup dalam menilai seseorang warga, perlu disertai modal negara. Kepentingan diri perlu dikorbankan apabila bertembung dengan kepentingan negara.

YB timbalan Menteri berkata lagi bahawa dunia kini tiada sempadan dan kerajaan tidak patut menyekat sesiapa pun daripada mendapat pendidikan pilihan mereka. Pendidikan sepatutnya bersifat progresif dan membolehkan modal insan lebih baik serta pelbagai. Kebebasan pendidikan sama pentingnya dengan kebebasan bersuara dalam sebuah negara demokrasi.

Wahai timbalan Menteri, sedar atau tidak kenyataan kamu ini. Memang rakyat bebas memilih apakah bentuk pendidikan yang menjadi kemahuannya, tetapi siapakah yang menentukan sistem pendidikan itu. Sudah tentu kementerian bertanggungjawab.

Apakah kita terus mahu memberikann sekolah persendirian menentukan sistem pendidikan mereka sendiri? Buat silibus sejarah sendiri.

Jika begitulah keadaan, tidak perlu adalah badan-badan yang memantau sekolah persendirian. Bagaimana dengan jaminan kualitinya? Inilah kesilapan pemimpin kita hari ini apabila bercakap ikut sedap mulut. Bukan atas landasan ilmu. Begitu badan berotoriti yang meluluskan silibusnya.

Ingatan saya, janganlah membuat kenyataan terburu-buru. Bertanyalah jika tidak tahu. Mengeluarkan kenyataan biarlah berfakta dengan asal ilmu. Buatlah kajian secara menyeluruh termasuk SJKC dan Sekolah Persendirian.

Putrajaya bukan tidak mahu “mempertimbangkan secara serius” desentralisasi pendidikan, tetapi biarlah ada asasnya berpandukan kepada kajian bukan bakat semata.

Soal kerajaan negeri Sarawak mahu berusaha memastikan pelajarnya fasih berbahasa Inggeris bagi membolehkan mereka cemerlang dalam pelajaran dan mempunyai masa depan cerah. Teruskanlah. Itu hak kerajaan. Cuba YB Menteri buat kajian adakah pelajar UEC ini hebat bahasa Inggerisnya?

Setahu saya, mereka hebat dalam bahasa Cina sahaja. Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris mereka ke laut. Mereka tidak peduli agenda negara. Dalam kepala mereka hanya ada agenda bangsa. Buatlah kajian YB. Adakah ini modal insan dan bakat yang YB sedang perkatakan?

Sebelum menutup tirai, ingatan saya kepada YB timbalan Menteri Sarawak, tidak ada negara ini maju kerana pandai berbahasa Inggeris, mereka maju dengan semangat jatidiri yang kuat. Bacalah sejarah perjuangan kemerdekaan anak bangsa Sarawak. Jika Rentap masih hidup, pasti YB akan mendapat pencerahan sebenar, bukan berasaskan kepada bakat dan modal insan semata.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button