Dunia

Lebih 40,000 pelarian keluar dari Sudan

Pertempuran berdarah paksa pelarian cari tempat berlindung

GENEVA, 9 Syawal 1444H, Ahad – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan sekurang-kurangnya 40,000 pelarian telah melarikan diri dari ibu negara Sudan, Khartoum, untuk mencari tempat berlindung berikutan pertempuran bersenjata pada pertengahan April.

Wakil Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) di Sudan, Axel Bisschop, memberi amaran mengenai risiko bahaya dihadapi penduduk yang dipindahkan secara paksa di Sudan.

Ini termasuk pelarian yang melarikan diri daripada pertempuran yang semakin sengit, katanya.

Bisschop turut berkongsi laporan yang diterimanya, iaitu kira-kira 33,000 pelarian telah melarikan diri dari Khartoum untuk mencari keselamatan di kem pelarian White Nile, 2,000 ke kem pelarian Gedaref, dan 5,000 ke kem pelarian Kassala sejak krisis mula berlaku dua minggu lalu.

Beliau turut berkata, UNHCR memberi amaran bahawa konflik itu memberi kesan buruk kepada penduduk awam, termasuk pelarian dan orang yang kehilangan tempat tinggal di seluruh negara.

Bisschop turut menerangkan bahawa keadaan agak stabil di kem pelarian Gedaref, Kassala, White Nile dan Blue Nile, serta penempatan pelarian di Kordofan Selatan dan Barat, dengan perkhidmatan seperti kesihatan dan air berjalan dengan baik.

Kesatuan doktor Sudan mengumumkan pada hari Jumaat bahawa jumlah kematian orang awam telah meningkat kepada 387 sejak bermulanya pertempuran antara pihak angkatan tentera dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) pada pertengahan April, selain lebih 1,000 yang cedera.

Pertempuran itu juga menyebabkan pemindahan ribuan orang ke negara jiran dan pemindahan warga asing dari semua bahagian di Sudan. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button