Berita Utama

‘Sedar tak sedar mahkamah benar proses cabar agama anak Loh’: PEMBELA

Dahulu PEMBELA dikecam konon hasut kepada kebencian

BANGI, 3 Muharram 1444H, Isnin – Kebimbangan yang dibangkitkan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) terhadap isu pengislaman tiga anak Loh Siew Hong berasas, apabila mahkamah membenarkan ibu tunggal itu mencabar penukaran agama mereka.

PEMBELA berkata, dahulu ada pihak termasuk ahli politik yang mengecam mereka kononnya menghasut kepada kebencian apabila membangkitkan kebimbangan mengenai keislaman anak-anak Loh.

“Mereka ratib yang kes ini hanya kes penjagaan anak. 

“Hari ini, sedar tak sedar mahkamah putuskan untuk benarkan proses pencabaran keislaman anak-anak tersebut oleh si ibu,” kata PEMBELA dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Loh bagi mendapatkan kebenaran melakukan semakan kehakiman untuk mendapatkan deklarasi bahawa bekas suaminya tidak layak untuk mengislamkan anak-anak mereka.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, aduan Loh mempunyai merit untuk didengarkan di mahkamah.

“Permohonannya untuk mendapat kebenaran tidak remeh, sebaliknya kesnya boleh dipertahankan,” kata hakim ketika menyampaikan keputusan prosiding secara dalam talian.

Sementara itu, rata-rata netizen di laman Facebook PEMBELA kesal dengan tindakan berkenaan dan menyifatkan keputusan mahkamah seolah-olah memperlihatkan Islam diserang di segenap sudut.

“Mereka mengguna Perlembagaan kita untuk mencabar kita. Kita cuai tidak ubah selama 65 tahun,” kata Nazeri My.

“Terlalu lemah pimpinan politik Melayu Islam di negara ini, hanya rakus berebut kuasa dan berpecah belah, agama dan bangsa digadaikan,” tulis Azizan Hashim.

“Inilah wajibnya PAS-UMNO-Bersatu dalam MN, baru boleh pinda Perlembagaan atau bawa usul RUU355 di Parlimen. Kalau RUU342 (Akta Lompat Parti) boleh dua pertiga sokong, takkan RUU355 tak sokong terutama MP muslim,” kata Danial Danila Shah Danial.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button