Berita Utama

PDRM sedia tangani isu keselamatan Sabah, terutama ancaman Abu Sayyaf

Sifatkan ancaman keselamatan sebagai ‘wabak penyakit’

LAHAD DATU, 4 Muharram 1444H, Selasa – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersedia menangani ancaman keselamatan di Sabah, terutama daripada kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dengan melaksanakan pelbagai langkah pencegahan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau yang menyifatkan ancaman keselamatan itu sebagai ‘wabak penyakit’ yang sentiasa ada, berkata pihaknya bersama pasukan keselamatan yang lain sentiasa dalam keadaan bersedia, malah dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini telah menahan lima warga Filipina dipercayai anggota ASG.

Beliau berkata bagi menghadapi ancaman itu juga 3,475 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) serta 900 anggota Pasukan Polis Marin (PPM) ditempatkan di kawasan pantai timur Sabah, jumlah yang jauh lebih besar berbanding kawasan wilayah marin lain.

“Meskipun hampir dua tahun tiada ancaman (ASG), tidak bermakna ancaman itu terhapus terus, tidak bermakna kumpulan itu tidak mengintai peluang melakukan jenayah, bukan bererti kita boleh bersenang hati dan kita mula melonggarkan kawalan.. aspek keselamatan di pantai timur Sabah ini akan sentiasa wujud.

“Di pihak kita, sentiasa berjaga dan meningkatkan keupayaan menangkis ancaman keselamatan,” katanya selepas menutup kursus asas Tiger Platoon Briged Sabah PGA Siri 1/2022 setelah 44 hari diadakan dengan pembabitan dua pegawai kanan serta 84 anggota di sini hari ini.

Acryl Sani berkata selain langkah pencegahan, pihaknya juga berusaha memperhebatkan kawalan keselamatan di Sabah termasuk melihat keperluan tambahan dua batalion PGA di negeri ini dalam tempoh terdekat.

“PGA sedia ada di Sabah ketika ini adalah lima (batalion), dan kita berusaha tambah dua batalion lagi bagi membantu menampung kawasan tanggungjawab untuk menghadapi insiden keselamatan yang mungkin berlaku.

“Perkara ini termasuk penstrukturan semula PGA dengan beberapa kerjasama kekuatan antara platun dan briged akan disesuaikan untuk mewujudkan dua batalion tambahan di Sabah ini, selain mengusahakan keperluan kelengkapan peralatan berteknologi tinggi kepada unit Tiger Platoon serta PPM,” katanya.

Sementara itu bagi mengukuhkan kemahiran PDRM, Acryl Sani berkata pihaknya akan memohon secara rasmi kepada kerajaan Sabah untuk menjadikan Pulau Tabawan di sini sebagai kawasan khusus menjalankan latihan kemahiran, sekali gus mengukuhkan teknik yang akan digunakan apabila berdepan situasi keselamatan.

“Hasil taklimat ringkas oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Hazani Ghazali dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah, kita dapati bahawa kawasan Pulau Tabawan ini merupakan kawasan sesuai untuk digunakan sebagai lokasi latih amal,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button