Berita Utama

Adakah ahli politik masih nak berlembut bila pengislaman tiga anak Loh dicabar?

‘Apakah nak kena tunggu anak-anak ini betul-betul dimurtadkan baru nak tersedar?’

BANGI, 4 Muharram 1444H, Selasa – Di manakah ahli politik beragama Islam yang dahulunya mengecam Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) kerana mempertahankan isu keselamatan akidah anak-anak Loh Siew Hong?

Demikian persoalan dibangkitkan Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam membenarkan Loh meneruskan permohonan bagi membatalkan penukaran agama Islam tiga orang anaknya.

Beliau berkata, sebelum ini apabila pihaknya memperjuangkan isu tersebut, mereka diserang dan dilabel dengan pelbagai tohmahan.

“Dulu, apabila kita menyatakan kebimbangan kita, punyalah kita diserang bertali arus dengan pelbagai label seperti ekstremis dan pemecah belah kononnya mengadu domba perkara yang takkan berlaku. 

“Mereka kata ini sekadar isu hak penjagaan anak dan ancaman akidah hanyalah rekaan kami untuk menakut-nakutkan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bukan itu sahaja, katanya, Loh yang disokong oleh wakil rakyat dan peguam-peguam DAP kononnya disifatkan oleh mereka sebagai pejuang sebenar yang membela seorang ibu yang ditindas dan dinafikan hak. 

“Seolah-olah merekalah yang terpaling harmoni dan ‘innocent’ walaupun telah banyak kenyataan yang agak celupar dikeluarkan. 

“Kita mahu soal ahli-ahli politik beragama Islam, terutamanya yang teruk mengecam kami dahulu. Di manakah anda dalam hal ini? 

“Apakah masih nak ‘berlemah lembut’ tak tentu pasal lagi? Atau apakah nak kena tunggu anak-anak ini betul-betul dimurtadkan baru nak tersedar? 

“Ketika itu sudah sangat terlambat. Itu pun kalau tersedarlah. Ya Allah, selamatkanlah akidah anak-anak ini yang cuba dimurtadkan ini,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Loh bagi mencabar tindakan bekas suaminya mendaftarkan tiga anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, ketika membenarkan permohonan itu berkata permohonan Siew Hong mempunyai merit untuk didengar.

Loh Siew Hong dibenar cabar penukaran agama tiga anak beragama Islam

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button