AS bunuh pemimpin Al-Qaeda dalam serangan dron di Kabul
Sifatkan ia tamparan besar kepada kumpulan itu sejak kematian Osama Bin Laden

KABUL, 4 Muharram 1444H, Selasa – Pemimpin Al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri telah terbunuh dalam serangan dron CIA di Afghanistan, kata Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.
Kematian Al-Zawahiri itu disifatkan tamparan besar kepada kumpulan tersebut sejak pengasasnya Osama bin Laden terbunuh pada 2011.
“Keadilan telah diberikan dan pemimpin pengganas ini sudah tiada lagi,” kata Biden dalam ucapan khas dari Rumah Putih.
Perisikan telah mengesan keluarga al-Zawahiri di Kabul awal tahun ini, kata Biden, sambil menambah bahawa tiada orang awam atau ahli keluarga Al-Zawahiri telah terbunuh dalam serangan itu.
Terdahulu, pegawai AS yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, CIA melakukan serangan dron di ibu negara Afghanistan, Kabul pada Ahad, menggunakan dua peluru berpandu.
Al-Zawahiri berada di balkoninya ketika itu, kata mereka.
“Ia satu tamparan yang ketara,” Pengarah Penyelidikan di Soufan Group, sebuah firma keselamatan global, Colin Clarke, memberitahu Al Jazeera.
“Dia semakin selesa sejak beberapa tahun lalu sejak Taliban mengambil alih,” kata Clarke.
Taliban mengesahkan serangan di Kabul, dan mengutuknya sebagai ‘pelanggaran prinsip antarabangsa’. – Agensi