Berita Utama

Hormat pendirian kerajaan tidak iktiraf UEC

Tiada kesefahaman, kesatuan sistem pendidikan negara semakin sukar

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 4 Muharram 1444H, Selasa – Kesatuan dalam sistem pendidikan negara kelihatan sukar apabila wujudnya pihak yang tidak bersependapat dengan pendirian kerajaan Pusat untuk kekal tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Difahamkan, keputusan itu dibuat kerana ia bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, UEC yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC), menggunakan kurikulum yang digubal serta dibangunkan Dong Zong, selain menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama.

Justeru, beliau menjelaskan, kerajaan hanya akan mempertimbangkan penyelesaian berhubung pengiktirafan terhadap UEC jika ia diubah supaya selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr Annuar Rapaee yang menekankan kerajaan Sarawak sentiasa menghargai bakat berkata, tindakan tidak mengiktiraf UEC satu pembaziran modal insan.

Katanya, dunia kini tiada sempadan dan kerajaan tidak patut menyekat sesiapa pun daripada mendapat pendidikan pilihan mereka.

“Pendidikan sepatutnya bersifat progresif dan membolehkan modal insan lebih baik serta pelbagai.

“Kebebasan pendidikan sama pentingnya dengan kebebasan bersuara dalam sebuah negara demokrasi,” katanya.

Dalam hal ini, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, ketetapan yang dibuat Putrajaya hendaklah dihormati.

Katanya, ia perlu setimpal dengan susila Putrajaya yang menghormati langkah yang diambil kerajaan Sarawak untuk mengiktirafkan UEC dalam ranah Sarawak, dengan tidak membidasnya.

“Dengan sifat dua tahap kerajaan ini, adalah penting untuk kedua-dua pihak menghormati cara governans masing-masing sebagai yang diperuntukkan.

“Oleh itu, pihak tertentu daripada kerajaan Sarawak tidak perlu menyelar kerajaan Pusat dalam isu pengiktirafan UEC ini, antaranya sebagai pembaziran modal insan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Mengulas lanjut, Prof Kok Seong berkata, dalam perkara ini sebenarnya ia tidak harus dilihat sebagai masalah yang terlalu besar dari satu segi lain.

Jelasnya, ini kerana dalam sistem pemerintahan federalisme yang diguna pakai di Malaysia, ia dibolehkan dengan absahnya.

Lebih-lebih lagi apabila berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963, khususnya Perkara 15 yang menegaskan bahawa sistem pendidikan tempatan yang sedia ada boleh diteruskan oleh wilayah terbabit dan diuruskan wilayah itu dengan bidang kuasa yang ada.

“Natijahnya di sini ialah saling menghormati selain mengurus tadbir berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri dan Wilayah, termasuklah Perjanjian Malaysia 1963, untuk perimbangan kuasa yang saksama bagi perjalanan federalisme yang lebih unggul,” katanya.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/08/01/proses-pencinaan-uec-amat-dahsyat/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button