Berita Utama

Kelulusan RUU lompat parti tiada manfaat kepada rakyat: BERJASA

Banyak lagi akta, undang-undang patut diberi keutamaan

BANGI, 4 Muharram 1444H, Selasa – Kelulusan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (No 3) 2022 dan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti bukanlah kemenangan buat rakyat.

Sebaliknya, ia hanyalah sistem hukuman yang terpaksa dirangka bagi mengawal perangai buruk dan tingkah laku tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen Malaysia yang menyebabkan ketidakstabilan politik dan ekonomi negara sejak empat tahun lalu.

Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim berkata, pindaan RUU itu ibarat pagar besi berduri yang terpaksa dibina bagi menjaga kelakuan sekumpulan kanak-kanak nakal dan tidak berakhlak di sekolah.

“Tapi apa manfaatnya terhadap rakyat? Benarkah ia mampu menstabilkan keadaan politik Malaysia selepas PRU15 nanti?

“Rakyat tidak mendapat apa-apa. Sebaliknya, banyak lagi akta dan undang-undang yang mampu memberikan kesan positif terus kepada rakyat yang sepatutnya diberikan keutamaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Muhammad Lukman, kestabilan politik Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga tidak terjamin kerana lompatan parti secara berjemaah (en bloc) masih boleh berlaku tanpa sebarang kawalan.

Selain itu, katanya, undi tidak percaya untuk menumbangkan mana-mana Perdana Menteri dan kerajaan yang memerintah masih boleh dilakukan atau disokong oleh Ahli Parlimen kem kerajaan tanpa perlu mereka melompat parti.

“Jika usaha tersebut gagal dan akhirnya mereka dipecat dari parti, ia tidak akan menghilangkan kerusi yang dipegang mengikut akta baharu yang bakal diluluskan.

“Jangan kita lupa juga Akta Pendanaan Politik juga masih belum dipinda, menyebabkan menyalahgunaan wang serta rasuah dalam parti kerajaan mahupun pembangkang akan terus berleluasa.

“Sebenarnya tiada jaminan keadaan akan jadi lebih baik. Solusi yang tuntas ialah melahirkan dan memilih Ahli Parlimen yang berintegriti tinggi dan berwibawa. Pejuang sebenar untuk rakyat dan negara. Bukan elitis, pengkagum Barat yang berfahaman liberal serta tamak akan habuan dunia!” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button