Berita Utama

Lima kertas siasatan penipuan haji furada sudah lengkap

132 laporan polis direkod babit kerugian RM5.67 juta

BANGI, 4 Muharram 1444H, Selasa – Sebanyak lima kertas siasatan berhubung kes penipuan haji furada oleh tiga agensi pelancongan sudah lengkap dan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, lima kertas siasatan itu akan dirujuk kepada pihak AGC oleh Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

“Lima kertas siasatan yang sudah lengkap akan dirujuk kepada AGC bagi mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya.

“Dalam pada itu, siasatan berhubung kes itu masih diteruskan di beberapa negeri lain, yang mana keseluruhan 23 kertas siasatan dibuka di 11 negeri di Semenanjung Malaysia setakat ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Noorsiah memaklumkan, laporan polis berhubung kes itu meningkat kepada 132 laporan setakat 31 Julai lalu membabitkan jumlah kerugian mencecah RM5.67 juta.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menerima jumlah laporan polis tertinggi dengan 52 laporan membabitkan kerugian RM2.3 juta dan dua kertas siasatan dibuka oleh kontinjen itu.

“Sebanyak 33 laporan diterima di Selangor membabitkan kerugian RM966,100 dan diikuti Pahang sebanyak 18 laporan dengan kerugian RM1.254 juta,” katanya.

Beliau berkata, di Johor, polis menerima tujuh laporan polis membabitkan kerugian RM226,500 manakala di Kelantan dan Perak masing-masing enam laporan polis dengan kerugian RM280,000 dan RM203,000.

“Manakala di Terengganu hanya dua laporan dengan kerugian RM76,000, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pula masing-masing satu laporan dengan kerugian RM32,000 dan RM16,000,” katanya.

Pada 7 Julai lalu, kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Tabung Haji (TH).

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button