Berita Utama

NADMA ambil pendekatan dari bawah ke atas bagi persediaan hadapi bencana

'Kami memiliki templat mengenai apa yang harus dilakukan'

KUALA LUMPUR, 4 Muharram 1444H, Selasa – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengambil pendekatan dari bawah ke atas dalam melakukan persediaan menghadapi bencana akan datang, kata Ketua Pengarahnya Datuk Aminuddin Hassim.

Beliau berkata NADMA telah mempertingkat program Pengurusan Pengurangan Risiko Berasaskan Komuniti terutama melalui latihan simulasi bencana memandangkan orang ramai adalah ‘responder pertama.’

“Kami memiliki templat mengenai apa yang harus dilakukan dalam situasi sedemikian (bencana), oleh itu, kami ingin mengongsikannya.

“Kami kini memfokus kepada simulasi ini bagi memastikan komuniti dan agensi yang terlibat memiliki kepakaran yang diperlukan jika ditimpa bencana,” katanya semasa melakukan lawatan bersama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi di sini.

Aminuddin juga berkata agensi itu telah menjalin kerjasama dengan 1,300 badan bukan kerajaan melalui inisiatif Rakan NADMA yang membabitkan sejumlah 27,000 ahli di seluruh negara.

Katanya NADMA juga telah belajar bahawa penyebaran maklumat tepat pada masanya adalah penting dalam menguruskan bencana susulan insiden banjir pada hujung tahun lepas yang mengejutkan negara.

Justeru, beliau berkata NADMA telah melatih jurucakap daripada agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana untuk berkongsi data terkini bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button