Berita UtamaDunia

OIC sambut baik keputusan Afrika Selatan fail kes Israel di ICJ

Langkah penting hukum pemimpin entiti Zionis atas jenayah keji: Hamas

JEDDAH, 18 Jamadilakhir 1445H, Ahad – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyambut baik keputusan Afrika Selatan memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), selepas hampir tiga bulan pencerobohan Israel terhadap Palestin di Gaza.

OIC dalam satu kenyataan menggesa ICJ bertindak balas dengan pantas dan mengambil langkah segera untuk menamatkan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel di wilayah Palestin yang terkepung, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

“Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai dengan menyasarkan penduduk awam secara sembarangan, membunuh dan mencederakan puluhan ribu rakyat Palestin.

“Rejim memindahkan mereka secara paksa, menghalang daripada mendapatkan keperluan asas dan bantuan kemanusiaan serta memusnahkan bangunan dan institusi kesihatan, pendidikan dan agama,” kata kenyataan itu.

Afrika Selatan memfailkan tuntutan mahkamah pada hari Jumaat kerana mendakwa tindakan Israel ‘bersifat genosid sehingga membawa kemusnahan sebahagian besar kumpulan kebangsaan, kaum dan etnik Palestin.

Permohonan itu berkata, serangan Israel melanggar Konvensyen Genosid PBB – sekali gus menggesa ICJ untuk ‘memerintahkan Israel menghentikan pembunuhan serta kecederaan mental dan fizikal yang serius kepada rakyat Palestin di Gaza.’

“Kami mahu melihat konflik ini ditamatkam secara aman,” kata Menteri Pembangunan Sosial Afrika Selatan, Lindiwe Zulu memberitahu Al Jazeera mengenai sebab Pretoria memfailkan tuntutan mahkamah.

“Kami percaya ini masa yang sesuai – untuk kami sebagai Kongres Kebangsaan Afrika dan kerajaan – untuk melangkah ke peringkat seterusnya dalam mencari penyelesaian,” tambahnya.

Sementara itu, Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) Palestin memuji tindakan Afrika Selatan dan menyifatkan ia sebagai langkah penting untuk menghukum pemimpin entiti Zionis dan penjenayah masa kini, yang telah melakukan pembunuhan paling keji dalam sejarah moden.

Hamas menyeru seluruh dunia untuk mengambil tindakan yang sama terhadap rejim Israel di mahkamah nasional dan antarabangsa.

“Rejim itu mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa.

“Mereka tidak boleh melarikan diri atas jenayah kejam yang dilakukannya terhadap kanak-kanak dan orang awam yang tidak berdaya di Gaza,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button