Berita Utama

Oktoberfest cabar kedudukan Islam sebagai agama negara

Minum arak tak baik untuk kesihatan malah buka ‘pintu kejahatan’

BANGI, 4 Muharram 1444H, Selasa – Penganjuran Oktoberfest adalah sama seperti tindakan untuk mempromosikan masyarakat dengan budaya yang tidak sihat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasruddin Hassan berkata, penganjuran pesta itu juga seumpama mencabar kedudukan Islam sebagai agama negara.

“Apabila arak difestivalkan dalam negara ini ia bererti seperti promosi ke arah menggalakkan masyarakat ini untuk minum arak.

“Islam adalah agama yang tidak membenarkan penganutnya membeli, menjual, menyedia dan meminum arak kerana ia adalah minuman yang memabukkan serta menghilangkan akal sedangkan agama Islam sangat menghargai akal yang sihat.

“Lagipun, Malaysia adalah sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan Islam pula adalah agama negara.

“Jadi, sudah barang tentu festival arak tersebut bukan sahaja tidak sesuai tetapi dilihat sebagai perbuatan yang mencabar kedudukan Islam sebagai agama negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin DAP, Lim Kit Siang yang mempersoalkan keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan penganjuran Oktoberfest yang disifatkan mencabuli prinsip Perlembagaan negara.

Semalam, Kit Siang mendakwa, tindakan berkenaan adalah bertentangan dengan semangat penubuhan Malaysia.

Beliau merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang menolak penganjuran program berkenaan secara terbuka kepada awam.

Mengulas lanjut, Nasrudin yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menjelaskan, perbuatan meminum arak bukanlah sesuatu yang baik kepada kesihatan sebaliknya membuka ‘pintu kejahatan’.

Malah, katanya, arak itu sendiri menjadi pembuka pintu masuk kejahatan dalam negara ini.

“Kejahatan yang dihasilkan mampu meruntuhkan peradaban manusia dan tamadun negara kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button