Berita Utama

Oktoberfest cubaan normalisasi arak dalam masyarakat termasuk Melayu

Adakah kita ingin dikenali sebagai negara dengan identiti arak?

BANGI, 4 Muharram 1444H, Selasa – Meskipun ada pihak mempertahankan Oktoberfest sebagai pesta yang hanya tertuju dan dianjurkan untuk penduduk bukan Islam, namun Ketua Pemuda Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Fahmi Bazlan berpandangan sebaliknya.

Menurutnya, Oktoberfest masih menjadi agenda menormalisasi arak dalam komuniti berbilang kaum, termasuk Melayu.

Malah, katanya, Oktoberfest juga bakal membentuk naratif dan persepsi yang buruk kepada Malaysia kerana penganjuran sesebuah festival itu adalah usaha mewarnai identiti negara. 

“Adakah kita ingin dikenali dengan negara dengan identiti arak?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, ketika negara Eropah dianggap maju terkial-kial mencari jalan mengatasi masalah arak kerana halangan budaya yang telah terlalu lama, di Malaysia pula giat mempromosikannnya.

“Konon atas nama kebebasan, begitu bersungguh mahu menjadikan budaya arak ini sesuatu yang diperbolehkan secara terbuka dan diberi kebebasan.

“Sedangkan melalui kajian saintifik menunjukkan bahawa arak adalah sebahagian daripada jenis ‘dadah’ yang mengakibatkan mabuk, khayal dan ‘mental illness’ bahkan mungkin lebih merbahaya,” katanya.

Menolak cubaan normalisasi penganjuran pesta arak itu, beliau menggesa kerajaan supaya meletakkan kedudukan arak – baik dari segi jualan mahupun aktiviti berkaitan dengannya pada ruang lingkup yang tertutup dan jauh daripada masyarakat.

“Saya menyeru semua pihak berganding bahu, untuk mewujudkan gelombang menolak sebarang promosi arak kerana arak adalah musuh negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button