Berita UtamaIstimewa

Agong dukacita Ordinan Darurat dibatal tanpa perkenan

Kenyataan menteri kelirukan Ahli Dewan Rakyat, belakangi prinsip kedaulatan undang-undang

BANGI, 19 Zulhijjah 1442H, Khamis – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan dibuat kerajaan berhubung pembatalan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, walhal pembatalan semua Ordinan Darurat itu belum mendapat perkenan daripada Seri Paduka.

Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang dipersetujui terdahulu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berhubung cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai lalu tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai lalu yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen.

“… dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurut kenyataan Istana Negara itu, Seri Paduka Baginda sedia maklum mengenai keperluan Agong bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti terkandung dalam Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa baginda selaku Ketua Utama Negara, mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak.

“… khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” kata Ahmad Fadil.

Menerusi kenyataan sama, Agong menggesa Ahli Parlimen memberi keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen – yang kini sedang berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang dihadapi rakyat dan negara ketika krisis pandemik COVID-19 ini.

“Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan menyeru rakyat bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button