Berita UtamaDunia

Pejuang Jihad Islam Palestin ditahan tentera rejim Zionis

Seorang remaja maut ditembak ketika serbuan di kem pelarian

JENIN, 4 Muharram 1444H, Selasa – Tentera pengganas Israel menahan anggota kanan kumpulan Jihad Islam Palestin, Bassam al-Saadi dalam serbuan di kem pelarian Jenin di utara Tebing Barat yang diduduki.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, ketika serbuan itu, tentera Israel turut menembak mati Derar Riyad al-Kafrini, seorang pemuda Palestin berusia 17 tahun.

“Kafrini disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital kerajaan Jenin,” katanya.

Sekurang-kurangnya seorang lagi rakyat Palestin cedera dalam serangan itu.

Serangan ke atas Jenin, pusat penentangan Palestin terhadap pendudukan Israel, juga telah membawa kepada penahanan menantu Saadi, Ashraf al-Jada.

Isteri Saadi turut mengalami kecederaan ketika penahanan dan dibawa ke hospital untuk rawatan.

Menurut agensi berita Wafa, tentera Israel, termasuk pasukan khas menyerbu kem Jenin serta melepaskan peluru hidup dan bersalut getah selain gas pemedih mata terhadap rakyat Palestin.

Beberapa rakyat Palestin bersenjata bertindak balas dengan tembakan langsung dan pertempuran berlaku ketika serbuan itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button