Berita Utama

Penetapan harga siling minyak masak langkah tepat tetapi perlu dipantau: Pakar

Langkah itu melegakan pengguna khususnya golongan B40

KUALA LUMPUR, 4 Muharram 1444H, Selasa – Usaha kerajaan mengurangkan kesan inflasi terhadap pengguna menerusi penetapan harga maksimum jualan minyak masak sawit kepada RM34.70 bagi botol lima kilogram bermula Isnin depan adalah langkah tepat namun perlu dipantau.

Profesor Ekonomi dari Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng berkata langkah itu melegakan pengguna khususnya golongan B40 yang terkesan dengan kenaikan harga barang ketika ini.

“Adalah penting bagi kerajaan untuk memastikan bahawa pemborong dan peruncit masih boleh meneruskan operasi mereka, justeru menjualnya pada harga kawalan akan membantu memastikan kos sara hidup tidak membebankan golongan berpendapatan rendah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau juga berharap agar kerajaan memberi tumpuan kepada usaha pemberian subsidi bersasar melalui pendekatan seperti pemberian kupon dan penambahan insentif bantuan bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah.

Senada dengan Yeah, penganalisis ekonomi dari Universiti Malaya (UM) Dr Roza Hazli Zakaria berkata meskipun pengumuman kerajaan itu menggembirakan pengguna namun dari sudut ekonomi, beliau bimbang sekiranya bekalan minyak menjadi terhad di pasaran.

“Kita bimbang sekiranya bekalan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan kerana apabila harga rendah, isi rumah lebih cenderung untuk meningkatkan pembelian.

“Pada masa sama, pengeluar apabila harga ditetapkan itu rendah daripada pasaran, kita bimbang ia tidak cukup untuk beri insentif bagi mereka terus bekalkan minyak masak sebab mungkin harga itu tidak mampu menampung kos keseluruhan yang ditanggung dan ini berdasarkan andaian tiada sebarang inflasi, penyeludupan kartel dan sebagainya,” katanya.

Mengulas mengenai implikasi penetapan harga minyak baharu secara bulanan, beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya pihak tertentu yang bertindak ‘menyorokkan’ bekalan ketika produk itu dijual murah.

“Minyak masak sawit ini adalah barang tahan lama. Ada juga kemungkinan pengguna sendiri (yang mempunyai kuasa beli) apabila harga rendah, beli lebih daripada keperluan dan menjualnya semula pada harga tinggi. Justeru, perlu ada pemantuan yang lebih ketat daripada kerajaan untuk pastikan tiada cubaan menyorok minyak ini,” katanya.

Profesor Dr Mohd Nazari Ismail dari Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM pula menyokong langkah kerajaan menetapkan harga secara bulanan sekiranya langkah itu adalah bagi menangkis usaha pihak tertentu mengaut untung berlebihan.

“Jadi kerajaan perlu berhati-hati dalam melaksanakan langkah penetapan harga. Ia hanya baik jika wujudnya monopoli, kartel dan sebagainya yang menjejaskan kebajikan pengguna,” katanya.

Semalam, kerajaan memutuskan bahawa harga minyak masak sawit tulen tidak bersubsidi dalam botol lima kilogram ditetapkan pada harga RM34.70 bagi Semenanjung berkuat kuasa mulai 8 Ogos.

Selain itu, harga minyak masak akan ditetapkan setiap bulan menerusi pengumuman oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa berkata dengan pengumuman itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil langkah-langkah berikutnya untuk mewartakan harga berkenaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button