Dunia

Gempa bumi 6.2 magnitud gegar Pulau Selatan New Zealand

Tiada laporan awal kecederaan, kerosakan ketara akibat gegaran

WELLINGTON, 4 Rabiulawal 1445H, Rabu – Gempa bumi kuat berukuran 6.2 magnitud menggegarkan Pulau Selatan New Zealand pada Rabu, menurut sebuah laman web kerajaan.

Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan awal menunjukkan kecederaan atau kerosakan ketara akibat gegaran berkenaan.

Menerusi laman web Geonet, pusat gempa – yang melanda jam 9.14 pagi waktu tempatan – berada 124 kilometer (km) barat Christchurch pada kedalaman 11km.

Laman web itu memaklumkan, kira-kira 15,000 orang melaporkan merasai gempa bumi itu.

Timbalan Datuk Bandar Timaru berhampiran pusat gempa, Scott Shannon berkata, tiada laporan segera mengenai kerosakan, namun pemeriksaan sedang dijalankan.

Gempa bumi itu berlaku tidak jauh dari tempat gempa berukuran 6.3 magnitud yang melanda New Zealand pada 2011, sehingga 185 orang terkorban serta menyebabkan kerosakan besar di bandar Christchurch.

New Zealand terletak di Lingkaran Api Pasifik, tempat plat tektonik berlanggar dan mengalami aktiviti seismik serta gunung berapi yang kerap. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button