Serpihan roket China: Malaysia perlu mohon penjelasan dari Beijing
Ini satu kes pelanggaran kedaulatan oleh Parti Komunis China ke atas Malaysia

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 4 Muharram 1444H, Selasa – Malaysia mempunyai hak untuk mendesak China memberikan penjelasan insiden serpihan roket Long March 5B milik kerajaan Republik Rakyat China yang memasuki ruang udara Sarawak.
Penganalisis politik, Shahbudin Embun berkata, ia jelas melanggar kedaulatan negara kerana serpihan berkenaan sudah memasuki ruang udara Malaysia.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) yang juga menyatakan serpihan itu jatuh di Laut Sulu.
“Kita bernasib baik kerana serpihan berkenaan tidak jatuh ke kawasan berpopulasi lantas dapat mengelak kemalangan nyawa.
“Kita juga bernasib baik kerana serpihan balistik berkenaan tidak mengenai mana-mana kapal udara yang menggunakan ruang udara negara,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Tegasnya, insiden ini adalah satu daripada pelbagai kes pelanggaran kedaulatan Parti Komunis China (CPC) ke atas wilayah kedaulatan Malaysia.
Sebelum ini, China tanpa segan silu melanggar kedaulatan udara dan perairan Laut China Selatan.
“Saya kecewa kerana China memperkecilkan insiden ini. Malah teguran daripada pemegang taruh dalam bidang eksplorasi angkasa lepas seperti NASA seperti diremehkan CPC kerana menganggap ia adalah cubaan untuk memburukkan kempen eksplorasi angkasa China.
“Enggan berdepan kritikan antarabangsa atas kegagalan teknikalnya sendiri, kedaulatan Malaysia tergadai, nyawa rakyat dijadikan taruhan. Inilah logik yang diguna pakai CPC.
“Nampaknya jelas keselamatan kita warga Malaysia yang diancam CPC dilihat remeh berbanding kemegahannya membina infrastruktur angkasa lepas,” katanya.
Justeru, Shahbudin menuntut kerajaan Malaysia menyedari hakikat ini kerana nilai nyawa warga Malaysia dan nilai integriti serta kedaulatan negara tidak mempunyai erti buat China dan CPC.
“Atas hakikat ini saya menuntut kerajaan bertegas dan meminta China beri penjelasan terhadap insiden pelanggaran ini,” katanya.
https://ismaweb.net/2022/07/31/serpihan-roket-milik-china-lintas-ruang-udara-malaysia (https://ismaweb.net/2022/07/31/serpihan-roket-milik-china-lintas-ruang-udara-malaysia/)/