Berita Utama

Tiada unsur radioaktif dikesan pada dua objek serpihan roket China

MOSTI memaklumkan perkara itu disahkan pasukan siasatannya

PUTRAJAYA, 4 Muharram 1444H, Selasa – Tiada sebarang radiasi atau unsur radioaktif dikesan pada dua objek disyaki sisa serpihan roket China yang jatuh dan ditemukan di Sarawak baru-baru ini, menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

MOSTI memaklumkan perkara itu disahkan pasukan siasatan yang melakukan siasatan lanjut terhadap dua objek yang dijumpai di Kampung Nyalau, Bintulu dan Kampung Sepupok Lama, Niah, Miri di Sarawak semalam.

Empat pegawai Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) daerah Bintulu bersama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat serta polis daerah Bintulu telah menjalankan siasatan di lokasi pertama di Kampung Nyalau.

“Berdasarkan ukuran dan hasil siasatan awal mendapati bahawa objek pertama yang disyaki bersaiz sekitar lima inci berkenaan tidak mengeluarkan sebarang radiasi dan tiada unsur radioaktif dikesan pada objek tersebut.

“Ukuran dan hasil siasatan awal terhadap objek kedua di Niah, Miri turut menunjukkan hasil yang sama iaitu objek disyaki tidak mengeluarkan sebarang radiasi dan tiada unsur radioaktif dikesan,” menurut MOSTI dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, MOSTI menjelaskan kedua-dua objek disyaki sisa serpihan roket China itu adalah selamat untuk dilaksanakan siasatan dan analisis seterusnya.

MOSTI melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dengan kerjasama Jabatan Kimia akan menjalankan siasatan terperinci terhadap kedua-dua objek itu bagi menentusahkan sama ada objek tersebut ada kaitan dengan insiden kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik China atau tidak.

Hasil siasatan dan analisis akan dimaklumkan dan tindakan sewajarnya akan dipertimbangkan selaras Akta 834 (Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022) dan triti antarabangsa berkaitan angkasa di bawah kendalian United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA), menurut MOSTI.

Pada Ahad, media melaporkan terdapat serpihan roket Long March 5B milik China dikesan melintasi ruang udara Malaysia di beberapa kawasan termasuk sekitar Sarawak.

MOSTI dalam kenyataan memaklumkan pemantauan secara berterusan pihaknya menerusi MYSA serta kenyataan oleh Agensi Angkasa China mendapati kemasukan semula serpihan roket berkenaan ke ruang udara bumi dikesan pada 12.55 tengah malam Sabtu waktu Malaysia.

Menurut MOSTI, sisa serpihan itu direkodkan jatuh di sekitar Laut Sulu iaitu kawasan antara latitud 9.1 darjah Utara dan longitud 119.0 darjah Timur. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button