UMNO tolak MN kerana tamak dan tidak mahu kongsi kuasa
Keenganan bergabung akan ulangi kisah 2018 tiada parti dapat majoriti

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 4 Muharram 1444H, Selasa – Keengganan UMNO untuk bergabung dengan parti-parti Melayu dan terus mendukung Muafakat Nasional (MN) dipercayai berpunca daripada sikap tamak, ego dan tidak mahu berkongsi kuasa.
Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain menyifatkan, tiga sikap itu mendorong UMNO kekal dengan pendirian untuk bergerak solo dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Analisis itu hanya dibuat berdasarkan kemenangan dalam pilihan raya negeri (PRN) di Sabah, Johor dan Melaka baru-baru ini, namun pengamatan tersebut bukan yang tepat merangkumi pengundi di seluruh negara.
“UMNO sebenarnya ego, dia yakin mahu bergerak solo padahal dia mengkhianati perjuangan melalui tingkah laku pemimpin mereka sendiri yang mempunyai banyak masalah.
“Tetapi masih tidak lagi mengaku dengan kelemahan kerana mengakui dia berjaya bertahan selama 60 tahun. Hakikat UMNO membawa banyak masalah, pemimpin banyak yang bermasalah seperti rasuah dan masalah-masalah lain,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keterbukaan PAS untuk mendukung agenda penyatuan ummah termasuk dengan UMNO menjelang PRU15.
Mengulas lanjut, Prof Ahmad Atory berkata, UMNO bimbang sekiranya bergabung, keadaan akan menyebabkan mereka terpaksa berkongsi kuasa dengan parti-parti lain.
“Inilah yang UMNO cuba elakkan kerana mereka tamak dan tidak mahu berkongsi kuasa dan hanya mahu membolot sendiri bersama kroni-kroni sahaja,” dakwanya.
Keengganan itu tidak mustahil akan membawa mudarat sehingga menyebabkan negara mengalami nasib sama seperti berlaku PRU 2018 yang menyaksikan tiada parti mendapat majoriti dan perlu gabungan untuk membentuk sebuah negara.
“Sayangnya semua itu tidak berlaku sebaliknya masing-masing mahu menunjukkan kehebatan dan kekuatan sendiri yang akhirnya membawa ruang kepada pihak lain untuk berkuasa,” katanya.