Berita Utama

Negara majmuk bukan lesen teruskan penganjuran pesta arak

Pihak berkuasa digesa tidak beri lesen penganjuran pesta arak: Naib Presiden ISMA

BANGI, 5 Muharram 1444H, Rabu – Biarpun negara terdiri daripada masyarakat majmuk, ia bukan lesen untuk meneruskan penganjuran pesta yang tiada kena mengena dengan budaya Malaysia seperti Oktoberfest.

Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Mohd Noor Azib Asmangi berkata, Octoberfest adalah penganjuran pesta minuman beralkohol sama sekali tidak selari dengan identiti negara.

Katanya, ia popular di negara Barat namun tidak sesuai dengan budaya negara ini.

“Malaysia adalah sebuah negara yang beridentitikan Islam yang majoriti penduduknya adalah berbangsa Melayu. Kuat berpegang dengan tatasusila budaya dan cara hidup berteraskan akidah.

“Tidak timbul isu bersikap keras kepada orang bukan Islam dan tidak hormati hak mereka. Tiada siapa yang halang mereka minum dalam tempat tertutup, tetapi bukan berpesta.

“Kita percaya majoriti orang bukan Islam faham dan menghormati tatasusila budaya di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Namun begitu, beliau hairan apabila ada segelintir Ahli Parlimen berdegar-degar menjadi jurucakap pihak lain dalam isu ini.

“Tidak perlu menjadi juara dalam hal yang melibatkan dosa besar dalam agama.

“Sepatutnya kita orang Islam terus menasihatkan bahawa berpesta arak, pastinya minum secara berlebihan, merosakkan akal dan menghancurkan negara,” katanya.

Serentak itu, beliau mendesak agar pihak berkuasa tidak memberikan lesen penganjuran pesta arak ini.

“Jangan sekali-kali juga berikan lesen mengiklankan pesta ini di khalayak,” tegasnya.

Sebelum ini, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan penganjuran Oktoberfest yang disifatkan mencabuli prinsip Perlembagaan negara.

Kit Siang mendakwa, tindakan berkenaan adalah bertentangan dengan semangat penubuhan Malaysia.

Beliau merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang menolak penganjuran program berkenaan secara terbuka kepada awam.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/08/02/oktoberfest-cubaan-normalisasi-arak-dalam-masyarakat-termasuk-melayu/
https://ismaweb.net/2022/08/02/oktoberfest-cabar-kedudukan-islam-sebagai-agama-negara/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button